Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kalau Umno nak kerjasama dengan DAP, dah buat masa tukar k’jaan Perak’
Diterbitkan:  Jan 8, 2021 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan tampil menafikan spekulasi bahawa wujud rundingan kerjasama antara Umno dan DAP di sebalik tabir.

Katanya, rundingan bersama DAP dan PKR tidak pernah diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik mahupun Majlis Tertinggi (MT), bahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri berulang kali menegaskan pendirian tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Perkara itu, menurutnya telah pun ditegaskan Umno berulang kali.

“Dalam majlis terbuka dan tertutup di hadapan kepimpinan parti pelbagai peringkat, termasuklah baru-baru ini, presiden Umno berkali-kali mengatakan beliau tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP.

“[...] Jika Umno mahu menjalin kerjasama dengan DAP, ia mempunyai peluang sewaktu pertukaran menteri besar di Perak. Perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Spekulasi itu kembali kencang susulan dakwaan bekas setiausaha agung BN yang dipecat, Annuar Musa pada Selasa, yang berkata wujud percubaan dan rundingan antara parti itu dengan DAP dalam apa yang diistilahkan sebagai pembentukan jajaran baru politik.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, percubaan menggugat kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara Umno, PAS dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.

Soal kerjasama antara Umno dan DAP turut timbul ketika krisis pertukaran menteri besar di Perak, apabila kedua-dua parti menyatakan bersedia bekerjasama membentuk kerajaan negeri, namun hal itu tidak menjadi kenyataan.

Jelas Shahril, sehingga hari ini, MT Umno masih meneruskan keputusan dasar parti yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Umno 2019, yakni tiada kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP, dan seluruh kepemimpinann berpegang pada keputusan berkenaan.

Dia turut menepis dakwaan bahawa terdapat percubaan untuk menjatuhkan kerajaan PN kerana ahli parlimen Umno tetap mendukung undian Belanjawan 2021 dibawa kerajaan sepanjang di Dewan Rakyat, meskipun wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan Umno terhadap beberapa isu.

Dia turut menegaskan Umno konsisten memperkasa Muafakat Nasional - satu kerjasama yang dijalin dengan PAS - tanpa Umno menjadi ahli komponen Perikatan Nasional.

Begitupun, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Rabu lalu memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan tegang parti itu dengan Bersatu dalam perhimpunan agung Umno untuk dibahas dan diputuskan, yang akan diadakan pada 31 Januari.

"Antara usul utama yang dibangkitkan majoriti besar Umno bahagian-bahagian: Mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.

"Memutuskan hubungan dengan Bersatu semasa menghadapi PRU-15," kata Shahril dalam kenyataan berasingan lewat malam tadi.

Lihat Komen
ADS