Gen-M anjur forum bersama Dr M di ibunegara bulan depan
Gen-M sebuah kelab yang menyokong dan menguruskan aktiviti Tun Dr Mahathir Mohamad akan menganjurkan "Forum Bersama Bekas Perdana Menteri " bulan depan di ibunegara.
Jurucakap Gen-M berkata, forum tersebut diadakan sebagai susulan kepada pembatalan program ceramah Dr Mahathir di Perlis yang sepatutnya diadakan Sabtu ini.
Program ceramah tersebut yang diadakan sempena mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar terpaksa dibatalkan kerana kegagalan mendapat permit polis. Manakala mesyuarat Umno bahagian berkenaan terpaksa ditangguh kepada 10 September depan kerana masalah mendapatkan tempat persidangan.
Kata jurucakap itu lagi, selain Dr Mahathir, anaknya, Datuk Mukhriz (foto kiri)kadan Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (foto kanan) akan turut bercakap di majlis itu.
"Ia adalah permintaan daripada orang ramai termasuk ahli-ahli Umno yang kecewa kerana pembatalan program ceramah Tun Dr Mahathir di Padang Besar," katanya.
Beliau berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Pegawai Khas Dr Mahathir dan mereka telah bersetuju dengan program tersebut.
"Forum tersebut akan diadakan di ibu negara tetapi tarikh dan tempat belum ditetapkan," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pihak termasuk Umno tidak cuba menggagalkan program tersebut kerana ia tidak ada kena mengena dengan parti itu.
Beliau juga menegaskan, walaupun akan muncul halangan kelak, pihaknya akan tetap mengadakan program tersebut kerana ia adalah permintaan orang ramai yang kecewa setelah ceramah Dr Mahathir di Perlis dibatalkan.
Ini adalah lanjutan daripada siri ceramah yang membabitkan Dr Mahathir sejak kebelakangan ini.
Semalam bekas Presiden Umno itu menyampaikan ceramah di Kedah anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah manakala dua minggu lalu Dr Mahathir menghadiri program `Jasamu Dikenang' anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara.

