Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy: Vaksinasi dalam tempoh kurang 18 bulan
Diterbitkan:  Jan 8, 2021 11:05 PM
Dikemaskini: 3:37 PM

Malaysia akan melakukan vaksinasi dalam tempoh kurang 18 bulan bermula Februari ini setelah ketibaan bekalan pertama vaksin Covid-19, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin.

"Kita harapkan bahawa dalam tempoh kurang daripada 18 bulan kita akan dapat suntik target sasaran kita iaitu 80 peratus atau 70 hingga 80 peratus daripada penduduk Malaysia," katanya dalam wawancara dengan Astro Awani malam ini.

Bekalan awal satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, yang dijangka tiba pada Februari, akan digunakan untuk melaksanakan vaksinasi terhadap 500,000 petugas barisan hadapan, termasuk 300,000 petugas penjagaan kesihatan dan 200,000 petugas bukan kesihatan, katanya.

Katanya, pada fasa kedua rancangan vaksinasi, tiga juta warga emas dan 3.5 juta individu yang mudah dijangkiti penyakit (comorbid) seperti pesakit diabetes akan menerima vaksin pada suku kedua tahun ini.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata penduduk biasa akan diberi suntikan vaksin pada fasa ketiga

Secara keseluruhan, Khairy berkata Malaysia akan melaksanakan vaksinasi terhadap 83 peratus penduduknya, termasuk pekerja asing.

Kerajaan dijangka membelanjakan RM2.05 bilion untuk meberikan suntikan vaksin kepada 26.5 juta penduduk.

Kos ini merangkumi tiga perjanjian yang ditandatangani dengan Covid-19 Vaccines Global Access Facility (Covax), Pfizer dan AstraZeneca.

Malaysia juga dalam rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino Biologics dan Gamaleya Center untuk membeli vaksin daripada firma berkenaan.

Lihat Komen
ADS