Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
71 korban dalam 9 hari tahun ini: Kita amat bimbang, kata Noor Hisham
Diterbitkan:  Jan 10, 2021 10:05 AM
Dikemaskini: 2:11 AM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah membangkitkan tahap wabak Covid-19 yang kian memburuk sejak tahun ini.

Dalam ciapan di Twitter awal pagi ini, Noor Hisham membuat perbandingan terhadap kadar kematian antara tahun ini dengan tahun lalu, yang menurutnya amat membimbangkan.

"Untuk sembilan bulan pertama pada 2020, kes kematian kurang daripada 100. Pada tahun ini, dalam tempoh sembilan hari, kita sudah mencatatkan sebanyak 71 kes kematian Covid-19.

"Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah melindungi kita semua," katanya.

Ciapan itu turut disertakan dengan gambar petugas kesihatan lengkap berpakaian alat pelindung diri (PPE) yang mengebumikan mereka yang terkorban.

"Bukan mudah petugas menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Mereka terpaksa memakai PPE lengkap, bermandi peluh dalam panas terik," katanya lagi.

Beberapa minggu kebelakangan, jumlah kes baru Covid-19 meningkat dengan mendadak.

Pada 6 Jan lalu, Hoor Hisham menyifatkan sistem penjagaan kesihatan pada "tahap genting" (breaking point) dan berdepan kemungkinan tidak dapat menampung jumlah pesakit di kemudahan sedia ada.

Keesokannya, iaitu pada 7 Jan, terdapat 3,027 kes baru, yang merupakan jumlah kes baru tertinggi setakat ini. Pada 8 Jan pula, terdapat 16 kematian dilaporkan yang merupakan jumlah harian tertinggi.

Setakat semalam, negara sudah mencatatkan jumlah keseluruhan 133,559 kes Covid-19, dengan 26,185 kes aktif. Angka korban pula sebanyak 542 kes.

Pada 8 Jan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Malaysia menyasarkan imuniti kelompok pada pertengahan 2022.

Berkenaan vaksinasi pula, dia berkata Malaysia menyasarkan 70 hingga 80 peratus warga akan diberi vaksin dalam tempoh kurang 18 bulan bermula Februari.

Di seluruh dunia, terdapat 90 juta kes Covid-19 telah dilaporkan dengan sekurang-kurangnya 1.93 juta korban.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS