Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Kami mempunyai tiga soalan yang perlukan jawapan segera daripada Perdana Menteri hari ini:

1. Apakah perubahan kepada struktur pentadbiran sedia ada? Siapa anggotanya?

2. Apakah proses untuk pastikan dasar-dasar baru diperhalusi dengan baik, dan dasar sedia ada diperbaiki jika tiada parlimen sebagai saluran suara rakyat?

3. Apakah rancangan pemulihan politik, ekonomi dan Covid-19 bagi menamatkan darurat ini secepat mungkin?

Di bawah darurat, kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa yang luas untuk mentadbir seluruh negara dengan hampir tiada sekatan. Ini termasuk skop pentadbiran kerajaan Negeri dan tempatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menyatakan dalam pengumuman pagi ini bahawa perjalanan kerajaan tidak terganggu tetapi implikasi peralihan kuasa ini jelas dan akan memberi kesan terutamanya dalam situasi kerajaan negeri dan persekutuan tidak bersependapat.

Seterusnya, pentadbiran seluruh negara bakal melibatkan pelbagai isu tempatan dan dalam negeri yang berbeza, dan memerlukan perhatian khusus. Bagaimana kerajaan negeri akan berdaya untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan jika mereka tidak mempunyai punca kuasa yang jelas?

Pada masa sama, mampukah kerajaan Persekutuan memikul beban mentadbir seluruh negara?

Isu pengurusan Covid-19 sudah cukup untuk menunjukkan kelemahan kerajaan Persekutuan mengurus seluruh negara secara serentak berdasarkan keperluan semasa.

Contohnya, pengesanan kontak Covid-19 yang hanya dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Jumlah kes yang sedia ada jauh melebihi kemampuan pasukan pengesan kontak KKM untuk mencari kontak rapat dalam tempoh secepatnya.

Ruang kuarantin untuk mereka yang positif Covid-19 juga sudah hampir melebihi kapasiti semasa KKM.

Jika ditambah lagi dengan isu banjir, gangguan bekalan air, penggalakan dan penjanaan semula ekonomi, dan kebajikan warga setempat, tidakkah semua ini bakal membebankan lagi kerajaan Persekutuan melebihi kemampuan sedia ada?

Seterusnya, suasana yang pesat berubah akan memerlukan perangkaan dasar baru yang tepat. Tanpa institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, bagaimana dasar-dasar ini dapat digubal sambil mengambil kira keperluan dan pandangan semua pihak. Terutamanya yang berkaitan dengan isu tempatan yang hanya difahami penduduk setempat.

Sekiranya semua keputusan dasar harus dibuat di peringkat Persekutuan, ini akan menyebabkan kelewatan dalam membuat keputusan. Selain itu, tanpa ruang untuk berunding dan berdebat, dasar-dasar ini mungkin lompong dan tidak dapat menyelesaikan masalah.

Tambahan pula, rundingan dan perdebatan ini merupakan tugas utama wakil diundi rakyat agar menyampaikan pandangan dan keluhan mereka ke pihak eksekutif negara. Tiadanya suara ini dalam dewan, bermaksud suara rakyat juga dimatikan.

Terakhir, sebagai kerajaan darurat yang berhasrat menyelesaikan semua permasalahan yang timbul disebabkan Covid-19 dan lain-lain masalah berbangkit, daripada isu ekonomi ke isu pendidikan anak-anak, apakah rancangan ke hadapan yang dikemukakan oleh pasukan pentadbiran hari ini?

Dengan semangat keterbukaan dan bersikap inklusif seperti diuar-uarkan dalam perutusan hari ini, rancangan-rancangan pihak kerajaan haruslah dikongsi dan diperjelaskan dengan baik kepada rakyat.

Pihak kerajaan juga harus terbuka kepada pesanan-pesanan dan cadangan daripada segenap lapisan warga Malaysia.

Oleh itu, ruang-ruang untuk memberi maklum balas dan pandangan haruslah diwujudkan, dan saranan-saranan yang disampaikan harus diberi perhatian dan pertimbangan oleh kerajaan.

Untuk menangani kesulitan dan kesengsaraan yang kita sedang hadapi bersama, seluruh warga Malaysia dari pihak kerajaan mahupun swasta, tanpa mengira gender, geografi, dan kaum, perlulah memainkan peranan masing-masing.

Masyakat sivil terutamanya harus tangkas mengaktifkan lingkungan dan meluaskan rangkaian dan bertindak dengan penuh hikmah dan istiqamah untuk memperkasakan dan mendayakan masyarakat Malaysia.

Kesalahan dan kelekaan lepas tidak boleh diulangi oleh semua pihak.

Kesedaran rakyat juga perlu ditingkatkan supaya hak dan tanggungjawab demokrasi kita terpelihara.

Sebagai negara berdemokrasi dan berperlembagaan, cara untuk keluar daripada kemelut ini ialah melalui demokrasi menurut perlembagaan.


WAROENG BARU adalah kolektif yang memperjuangkan masyarakat mandiri, bermaruah dan bermartabat. Mereka boleh dihubungi di sini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS