Khairy diminta beri penjelasan dalam mesyuarat khas BN
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hsihamuddin Hussein Onn akan meminta timbalannya, Khairy Jamaluddin memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai kontroversi ucapannya di Jerlun, Kedah minggu lalu dalam satu mesyuarat khas Pemuda BN tidak lama lagi.
Menurutnya, kemungkinan besar mesyuarat berkenaan diadakan selepas Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan mengadakan mesyuarat agung masing-masing yang dijadualkan bulan ini.
Khairy yang juga menantu Perdana Menteri telah menguris perasaan pemimpin komponen BN apabila dia memberitahu mesyuarat Pemuda Umno Jerlun Jumaat lalu bahawa masyarakat Cina Malaysia akan mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam Umno untuk membuat tuntutan bagi memenuhi kepentingan mereka.
Beliau merujuk kepada tuntutan Suqiu pada 1999 serta memorandum yang dikemukakan oleh pemimpin MCA kepada Perdana Menteri awal tahun ini berhubung kepentingan masyarakat Cina.
Kenyataan Khairy (foto kanan) itu telah mencetuskan bantahan keras daripada pemimpin MCA dan Gerakan.
Menurut laporan Bernama, Hishammuddin yang enggan mengulas sama ada perlu atau tidak Khairy memohon maaf secara terbuka mengenai isi ucapannya itu menganggap isu berkenaan telah selesai kerana beliau telah berinteraksi dengan Ketua-ketua Pemuda parti komponen berhubung isu tersebut.
" Saya telah berbincang dengan rakan-rakan sejawatannya dari parti-parti komponen lain mengenai perkara itu dan mereka bersetuju supaya ia diselesaikan dengan baik."
"Itu saya ingat dah selesai sebab saya dah duduk dengan Ketua-ketua Pemuda BN dan kami telah bersetuju dengan YB (Datuk) Mah (Siew Keong dari Gerakan - foto kanan), YB Vicki (S. Vickneswaran dari MIC) dan YB (Datuk) Liow (Tiong Lai dari MCA-foto kiri, bawah) untuk berbincang dan mendapat sokongan yang baik daripada pemimpin (Pemuda) yang lain, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertandingan akhir Pidato Piala Diraja di Putrajaya.
Malahan katanya, Khairy juga telah memberi penjelasan kepada rakan-rakan sejawatannya dalam BN bagi menjernihkan keadaan.
Hishamuddin berkata isu berkenaan akan turut diperjelaskan lagi kepada yang lain termasuk di Sabah dan Sarawak dengan menggunakan saluran politik yang ada.
"Saya rasa tidak perlu kita gembar-gemburkan isu itu lagi," kata Hishammuddin.
Rabu, Liow dilaporkan berkata bahawa Pemuda MCA menghormati pendirian Pemuda Umno dan berpendapat sebarang masalah yang timbul boleh diselesaikan pada peringkat Pemuda BN tanpa menjejaskan perpaduan.