Malaysiakini
BERITA

Eksploitasi kerja, polis selamatkan 43 wanita

Diterbitkan

Polis menyelamatkan 43 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja secara paksa oleh sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan di Cheras, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 37 wanita warga Indonesia dan enam wanita rakyat Kemboja berusia antara 20 hingga 43 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Fadil Marsus berkata polis membuat lima serbuan berasingan di Cheras dan menahan 18 suspek lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 60 tahun.

Beliau berkata daripada 19 suspek yang ditahan, tiga daripada mereka dipercayai pemilik dan pengurus syarikat manakala suspek lain berperanan sebagai penjaga asrama pekerja dan mengangkut mangsa ke tempat kerja.

Mengulas lanjut ketika ditemui Bernama di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini, Fadil berkata kesemua mangsa yang diselamatkan bekerja sebagai tukang cuci dan dipercayai dieksploitasi mengikut takrifan sebagai buruh paksa.

"Hasil semakan, mendapati kesemua mangsa mempunyai dokumen perjalanan sah dan hanya segelintir daripada mereka mempunyai dokumen tamat tempoh manakala siasatan awal polis mendapati kes berkenaan mempunyai isu pembayaran gaji," katanya.

Beliau berkata siasatan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) manakala kesemua mangsa diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 44 akta yang sama.

Fadil berkata kesemua suspek yang terdiri daripada 14 suspek warga asing dan lima warga tempatan itu direman selama sehari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.