Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SME Bank tawar moratorium 6 bulan untuk mangsa banjir

SME Bank Malaysia menawarkan kemudahan moratorium automatik selama enam bulan kepada semua pelanggannya yang terjejas akibat banjir yang melanda negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata moratorium itu akan membolehkan usahawan untuk mengatur semula aliran tunai mereka.

“Ia turut memberi ruang kepada mereka memberi fokus untuk membaik pulih kawasan pejabat, kilang dan premis agar dapat kembali beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SME Bank telah melaksanakan pelbagai program bantuan usahawan dan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik itu serta bencana alam.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata bank itu juga bersedia menyalurkan khidmat nasihat mengenai penstrukturan semula rancangan perniagaan serta program latihan pembangunan usahawan lain yang bersesuaian bagi membolehkan usahawan untuk kembali meneruskan operasi.

Perkhidmatan itu disediakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) yang menawarkan program pembangunan dan latihan usahawan yang unik dan efektif.

Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan moratorium, beliau berkata usahawan yang terjejas dengan banjir diminta menghubungi pengurus perhubungan masing-masing secepat mungkin.

Katanya, bantuan moratorium itu adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS