mk-logo
Berita
'Kenapa KJ abai maklum balas JAS tentang PDF Lynas?'
Diterbitkan:  Jan 14, 2021 6:14 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Adun Semambu, Lee Chean Chung menggesa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan mengapa Tapak Pelupusan Kekal (PDF) yang dibina oleh Lynas diluluskan walaupun terdapat risiko kesihatan awam.

PDF Lynas akan dibina di Bukit Ketam di Kuantan, Pahang.

Kerajaan sebelum ni mengarahkan Lynas membina PDF untuk residu pembersihan air (WLP) menjelang Mac 2021 atau berisiko kehilangan lesen operasinya.

WLP mencetuskan kontroversi kerana sifat radioaktifnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lee membangkitkan jawapan bertulis Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang terhadap pertanyaannya kepada DUN Pahang mengenai projek PDF Lynas.

"Berdasarkan semakan maklumat Geografi (GIS) jabatan mendapati terdapat Sungai Ara yang melalui projek ini dan akan mengalir ke Sungai Riau dan seterusnya ke Sungai Kuantan di mana merupakan sumber air untuk loji Rawatan Air Semambu.

"Loji ini melibatkan 781,100 akaun pengguna dan projek ini berisiko menjejaskan kualiti sumber bekalan air semasa peringkat kerja tanah, pembinaan dan operasi.

"Sehubungan itu, jabatan berpandangan bahawa isu ini perlu diambil kira dalam pemilihan kesesuaian tapak agar tidak menimbulkan isu pencemaran, risiko kepada kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat," ujar jabatan itu.

Menurut JAS, kebimbangan itu telah disampaikan kepada kerajaan negeri Pahang pada 4 Mei 2020.

Khairy sebelum ini mengumumkan bahawa Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah memberi kelulusan bersyarat pembinaan PDF oleh Lynas pada 28 Julai 2020.

Katanya kerajaan negeri Pahang akan mewartakan tapak seluas 222,35 hektar di Bukit Ketam untuk projek tersebut.

Mengulas mengenai kebimbangan JAS, Lee mempersoalkan mengapa kementerian Khairy dan kerajaan negeri Pahang mengabaikan maklum balas daripada JAS.

"Saya berasa terkejut kenapa kerajaan negeri Pahang dan Kementeri Sains, Teknologi dan Inovasi tidak menjawab atau terus mengabaikan maklum balas yang telah dikemukakan oleh Jabatan Alam Sekitar. 

"Ini juga bermaksud bahawa Hulu Sungai Kuantan mempunyai satu bom masa yang seluas 84 ekar dan akan meletup pada bila-bila masa. Jika risiko yang diutarakan oleh Jabatan Alam Sekitar itu wujud, 1.49 juta ton Sisa Radioaktif yang ditanam akan sentiasa membahayakan keselamatan dan kesihatan jutaan penduduk di daerah Kuantan dan sekitarnya.

"Jabatan Alam Sekitar sebagai agensi kerajaan telah mengutarakan risiko berkenaan seawal 4 Mei 2020 tetapi kenapa YB Khairy dan YB Datuk Seri Wan Rosdy masih terus membenarkan Lynas membina Tapak Pelupusan Kekal Sisa Radioaktif di Bukit Ketam?" soalnya.

Sehubungan itu, ahli parlimen dari PKR itu menggesa Khairy menghentikan sebarang permohonan untuk membina Tapak Pelupusan Kekal Sisa Radioaktif di Bukit Ketam dan meminta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengkaji semula kesesuaian tapak tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS