Malaysiakini
BERITA

KSU: KKMM tubuh jawatankuasa siasat kes ciapan tak senonoh SKMM

Diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di akaun rasmi Twitter, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital),Tan Chuan Ou serta empat orang ahli.

“Jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan dengan terperinci bermula esok mengenai isu ciapan tidak senonoh akaun Twitter MCMC (SKMM) tersebut bagi mengenal pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak-pihak yang terlibat serta kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan atau penyelewengan.

“Jawatankuasa ini juga akan mengesyorkan tindakan yang bersesuaian, antaranya tindakan tatatertib, surcaj, membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau tindakan sivil di mahkamah terhadap pihak yang terlibat sekiranya wujud kecuaian atau salah laku dalam isu ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata siasatan akan dilaksanakan secara telus dan laporan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, langkah penambahbaikan juga akan dicadangkan bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang di masa hadapan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.