Dr M bertanding: Ahli Umno Kubang Pasu tidak sekata
Kalangan pemimpin dan ahli Umno bahagian Kubang Pasu tidak sekata dalam memperkatakan kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding sebagai perwakilan Umno bahagian itu ke perhimpunan agung Umno November depan.
Kalangan pemimpin dan ahli Umno bahagian Kubang Pasu tidak sekata dalam memperkatakan kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding sebagai perwakilan Umno bahagian itu ke perhimpunan agung Umno November depan.
Ada yang terang-terang menentang hasrat bekas Perdana Menteri itu tetapi ramai yang berpendapat beliau berhak untuk bertanding sebagai perwakilan.
Setiausaha Umno Bahagian Kubang Pasu, Samsuddin Ahmad tidak bersetuju dengan hasrat Dr Mahathir itu.
Malah beliau berkata, ramai ahli Umno bahagian itu menyifatkan hasrat Dr Mahathir itu sebagai tidak masuk akal dan memalukan.
"Untuk apa beliau mahu bertanding sebagai perwakilan? Saya sendiri tidak setuju dengan hasrat Tun Dr Mahathir tersebut kerana ia tidak sesuai untuk seorang tokoh yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno."
"Daripada maklumat yang saya terima Tun Dr Mahathir dan anaknya Datuk Mukhriz (foto kiri) mahu bertanding dan menjadi perwakilan kerana dihasut oleh pihak tertentu di Kubang Pasu," katanya.
Samsuddin berkata, dalam sejarah perhimpunan agung Umno belum pernah ada perwakilan dari bahagian Kubang Pasu yang bercakap mewakili Kedah.
"Apakah Tun Dr Mahathir merasa beliau akan dipilih oleh badan perhubungan Umno Kedah untuk bercakap dalam perhimpunan nanti," katanya lagi.
Sementara itu Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum berkata, terpulang kepada Dr Mahathir samaada mahu bertanding atau tidak.
Katanya, sebagai ahli Umno yang sah, beliau boleh menawarkan diri untuk bertanding tetapi keputusan muktamadnya terletak pada para perwakilan yang menghadiri mesyuarat bahagian itu kelak.
Umno bahagian Kubang Pasu akan mengadakan mesyuaratnya pada 9 September ini. Johari (foto kanan) yang merupakan bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir adalah ketua bahagian itu sekarang. Dr Mahathir mengetuai Umno Kubang Pasu hingga persaraannya pada tahun 2003.
Serba salah
Ketua Wanita Umno bahagian Kubang Pasu, Barishah Saad ketika dihubungi pula berkata, ahli dan penyokong Umno bahagian itu masih menghormati Dr Mahathir sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa kepada bahagian itu dan negara.
" Sebagai ahli Umno, terpulanglah kepada beliau untuk bertanding tetapi keputusan Dr Mahathir itu menjadikan ahli-ahli Umno Kubang Pasu serba salah."
"Semua orang mengakui jasa Tun Dr Mahathir terlalu besar dan jika beliau tidak terpilih ke perhimpunan kelak adakah ini boleh dianggap kita tidak mengenang jasa beliau," persoal beliau.
Ahli Jawatankuasa Umno Kubang Pasu, Abdul Manaf Kechik juga bersetuju sebagai ahli Umno Dr Mahathir berhak bertanding sebagai perwakilan bahagian itu.
Menurutnya, pengaruh Dr Mahathir di Kubang Pasu masih kuat kerana ramai ketua cawangan merupakan orang kuat bekas Presiden Umno itu.
Rabu lalu ketika menghadiri majlis ceramah anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah di Alor Setar, Dr Mahathir mengesahkan akan bertanding merebut salah satu tujuh tempat perwakilan bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno.

