Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Esok pembangkang utus surat rayu Agong tamatkan darurat

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR Anwar Ibrahim akan memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar pengisytiharan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hal itu disahkan selepas Anwar menggesa ahli-ahli parlimen untuk mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar darurat dibatalkan semalam.

“Telah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan perlembagaan serta rakyat dari salah guna kuasa.

“Dan juga, pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin (Yassin),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini difahamkan tindakan itu dibuat atas dasar Muhyiddin memberikan nasihat yang salah kepada Agong berhubung pengisytiharan darurat.

Malaysakini turut difahamkan bahawa esok, PH akan menghantar satu petisyen rayuan secara bersama kepada Agong.

Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub mengesahkan hal itu apabila dihubungi hari ini.

“Kami akan tandatangan petisyen itu dan akan dihantar secepat mungkin,” katanya kepada Malaysiakini, selain mengesahkan ia merupakan petisyen bersama oleh ahli-ahli parlimen PH.

Disoal bilakah petisyen itu akan dihantar, kata Salahuddin, mengikut rancangan asal ia akan dihantar esok.

Darurat tidak sesuai

Ahli parlimen Pulai itu turut menegaskan petisyen berkenaan merupakan keputusan bersama yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada Selasa lalu.

Sementara itu, The Malaysian Insight melaporkan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Marzuki Yahya berkata, parti itu akan turut menghantar rayuan kepada Agong pada Isnin ini.

Bagaimanapun, Warisan nampaknya mengambil pendekatan berbeza.

Whip parti itu, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli memberitahu Malaysiakini bahawa ahli parlimen Warisan tidak akan menulis surat kepada Agong secara individu.

“Presiden kami (Shafie Apdal) sudah mengeluarkan kenyataan media dengan penjelasan panjang lebar mengenai pandangan parti (untuk membatalkan) pengisytiharan darurat.

“Secara asasnya, itulah maklum balas parti kami,” tambahnya.

Sebelum ini, Anwar menulis surat kepada semua ahli parlimen bagi menggesa mereka mengutus warkah kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang semula secepat mungkin.

Dalam surat yang dihantar kepada ahli parlimen itu, Anwar meminta mereka menulis warkah tersebut pada Jumaat lalu supaya parlimen dapat bersidang sebelum 31 Januari.

Shafie pula berpandangan darurat bukanlah langkah sesuai bagi menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah ada.

“Pelaksanaan darurat yang boleh menyebabkan salah guna kuasa tidak sesuai dan keadaan semasa juga tidak memerlukan darurat.

“Faktor utama pelaksanaan darurat ialah wujud ancaman terhadap keselamatan negara, ekonomi dan kehidupan awam,” katanya dalam kenyataan bertarikh 14 Jan.

Darurat diisytiharkan oleh Agong pada Isnin lalu dan dijadual berakhir sehingga 1 Ogos, atau lebih awal jika kes Covid-19 dapat dikurangkan.

Sepanjang tempoh berkenaan, Parlimen, semua DUN dan pilihan raya digantung pelaksanaannya sehinggalah darurat ditamatkan.

Muhyiddin pada Isnin memberitahu bahawa kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan tidak lumpuh.

Bagaimanapun, sebahagian pengkritik mendakwa langkah PKP sudah mencukupi dan Muhyiddin didakwa menggunakan Covid-19 untuk melindungi kuasanya yang kian goyah.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS