Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar gesa MP utus warkah pada Agong, batalkan darurat
Diterbitkan:  Jan 14, 2021 3:34 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim meminta semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di Pertuan Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.

Dalam surat yang dihantar kepada ahli parlimen, Anwar meminta mereka menulis warkah tersebut Jumaat ini supaya parlimen dapat bersidang sebelum 31 Januari.

"Dalam surat tersebut saya telah mencadangkan kepada semua ahli parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera.

"Warkah tersebut juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua ahli parlimen atau parti.

"Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021 untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas selepas itu berkata parlimen akan digantung dan pilihan raya tidak akan diadakan, tetapi badan kehakiman, kerajaan awam dan kegiatan ekonomi akan berjalan seperti biasa.

Ramai pemimpin Umno dan pembangkang mengkritik tindakan menggantungkan parlimen sebagai helah bagi menyelamatkan kerajaan PN yang kini didakwa hilang majoriti selepas tiga ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Dalam memo kepada ahli parlimen bertarikh 14 Januari itu, Anwar berkata perdana menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Perdana menteri lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa.

"Pandangan dan peruntukan sedia ada adalah mencukupi untuk mengekang wabak Covid-19 termasuk langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Cadangan membentuk jawatankuasa bersama telah diutarakan sejak Mac 2020.

"Ia tidak memerlukan darurat," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Tambahnya, kemelut ekonomi amat membimbangkan, manakala jumlah pengangguran, kemiskinan dan kesenjangan bertambah.

"Darurat pastinya akan menyebabkan kedudukan ekonomi tambah meruncing," katanya.

Pengisytiharan darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Di bawah darurat, fungsi parlimen digantung memberikan kuasa sepenuhnya kepada eksekutif.  

Lihat Komen
ADS