Malaysiakini
BERITA

Muhyiddin: Darurat ini bukan rampasan kuasa tentera

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jan 2021, 5:11 pagi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pengisytiharan darurat di seluruh negara yang mendapat perkenan daripada Yang Di-Pertuan Agong bukanlah satu rampasan kuasa tentera.

Jelasnya, perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.dan pengistiharan Ordinan Darurat bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

"Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini,” katanya.

“Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat,” katanya.

Menurut perdana menteri, pengisytiharan darurat dapat membantu langkah membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan.

Kata Muhyiddin, sepanjang tempoh darurat berlangsung, pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara berkenaan pada kenyataan hari ini.

"Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan," kata Istana Negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beberapa ordinan darurat boleh dimasyurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam membendung wabak Covid-19, termasuk hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, penggunaan sementara bangunan hospital swasta atau penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit Covid-19.

“Sehubungan itu, kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi kerajaan terutamanya hospital awam.

“Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi oleh pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti,” katanya.

Kenyataannya itu hadir selepas dia mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di enam negeri bagi membendung wabak Covid-19.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata sistem penjagaan kesihatan negara berada pada tahap genting, susulan lonjakan kes positif Covid-19 setiap hari.

Pada masa sama, Muhyiddin juga berkata pasukan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan imigresen juga akan turut memainkan peranan mengawal keselamatan negara terutamanya bagi mengekang mereka yang menceroboh sempadan negara.

“Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi tujuan sabotaj ekonomi, manopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyurkan oleh seri paduka baginda.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh digunakan untuk tujuan ini.

“Semua ordinan yang dimasyurkan oleh Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan dan akan diketahui oleh rakyat,” katanya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.