Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP Johor gesa buka pasar pagi dan tani, ikut SOP setempat
Diterbitkan:  Jan 18, 2021 2:43 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Seramai 12 ahli parlimen (MP) dan Adun DAP dari Johor menggesa kerajaan negeri membenarkan pasar pagi dan pasar tani beroperasi, tertakluk kepada syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Kami berasa hairan dengan keputusan mesyuarat semalam antara exco kerajaan tempatan (Ayub Jamil) bersama semua datuk bandar dan Yang Dipertua PBT di Johor.

“Walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengizinkan operasi pasar harian, pasar tani dan pasar borong, kerajaan negeri Johor pula bertindak sebaliknya dan tidak mengizinkan operasi pasar tersebut.

“Sekiranya kerajaan negeri boleh mengizinkan operasi pasar tani kekal dan pasar persendirian dalam bangunan, tiada sebab munasabah mengapa tidak boleh mengizinkan operasi pasar pagi, pasar tani dan pasar malam tertakluk kepada syarat PBT masing-masing,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kata mereka, dari segi operasi, pasar tersebut menyediakan perkhidmatan dan jualan barangan asas, malah pasar yang terdiri di tapak lapang, kata mereka, mempunyai pengalihan udara yang jauh lebih baik berbanding pasar dalam bangunan.

Kenyataan itu ditandantagani oleh dua ahli parlimen - Teo Nie Ching (Kulai) dan Wong Shu Qi (Kluang), serta 10 Adun - Tan Chen Choon (Jementah), Sheikh Umar Bagharib Ali (Paloh), Liow Cai Tung (Johor Jaya), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Gan Peck Cheng (Penggaram), Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Chew Peck Choo (Yong Peng), Ee Chin Li (Tangkak), Ng Yak Howe (Bentayan), dan Alan Tee Boon Tsong (Senai).

“Kami memahami sepenuhnya betapa mencabar keadaan penularan wabak Covid-19 dalam negeri kita pada masa kini. Walau bagaimanapun, PBT dan wakil rakyat seharusnya diberi kuasa budi bicara di kawasan masing-masing, untuk menentukan prosedur operasi standard (SOP) setempat selaras dengan garis panduan MKN,” kata mereka.

Ini kerana, kata mereka, setiap kawasan mempunyai situasi yang berbeza, dan PBT serta wakil rakyat setempat boleh menlaraskan SOP berdasarkan situasi dan keperluan di tempat masing-masing.

“Kaedah ini bukan sahaja membolehkan kerajaan mengatasi isu penularan Covid-19 secara lebih dekat bersesuaian dengan keadaan setempat malah mengizinkan kelonggaran untuk menjaga survival ekonomi rakyat di setiap kawasan.

“Kami mencadangkan agar kerajaan negeri memberi keizinan kepada operasi pasar pagi dan pasar tani secara amnya, berdasarkan keputusan MKN, dan PBT diberi kuasa budi bicara untuk menjalankan pelaksanaan bersesuaian dengan keadaan tempat masing-masing.

“Kalau ada pasar yang terletak di lokasi yang sukar dikawal pergerakan orang ramai ataupun di mana kes positif Covid-19 kawasan tersebut melonjak, PBT mempunyai kuasa untuk menutupkan pasar pagi tersebut dengan serta merta,” tambah mereka lagi.

Selain menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat dalam mesyuarat semalam, mereka turut menggesa agar kerajaan negeri menyediakan dana untuk membantu penjaja kecil yang berniaga di pasar pagi dan pasar tani sekiranya mereka tidak dibenarkan untuk beroperasi.

Lihat Komen
ADS