Najib: Umno tidak akan bertindak terhadap Nazri
Umno nampaknya "merestui" tindakan "kurang ajar" Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tindakan Nazri itu dianggap tidak salah kerana beliau mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengikut "cara sendiri".
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Nazri tidak akan dikenakan sebarang tindakan kerana Umno tidak semestinya mengambil tindakan disiplin kepada anggotanya hanya berdasarkan usul yang dikemukakan pada mesyuarat perwakilan.
" Nazri bertindak setelah beliau merasakan perlu berbuat demikian kerana "terasa" dengan kritikan yang agak tajam. Pada pendapat saya, tidak ada keperluan untuk diambil apa-apa tindakan terhadap Nazri," katanya kepada media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kelana Jaya.
Menurut laporan Bernama, Najib mengulas usul pergerakan Pemuda Umno Kubang Pasu Sabtu lalu yang mahu Nazri dipecat dari jawatan kabinet dan dibuat dari Umno kerana bersikap "kurang ajar" mengkritik Dr Mahathir '.
Timbalan Perdana Menteri itu menambah, terdapat pelbagai usul dan pendapat yang dikemukakan pada mesyuarat peringkat bahagian tetapi ia tidak semestinya pendapat majoriti.
"Setakat ini hanya pendapat persidangan Pemuda, tidak semestinya apa yang diusulkan oleh bahagian...tidak semestinya tindakan disiplin diambil," tambahnya.