Rayuan Shafee terhadap afidavit ditolak
Peluang peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah, untuk membatalkan satu afidavit mengandungi tuduhan bahawa dia menerima RM9.5 juta kini akan ditentukan Mahkamah Rayuan pada 5 Mac.
Hal itu berlaku selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kebenaran merayu ke atas keputusan terdahulu Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan Shafee memadam afidavit berkenaan.
Afidavit itu - difailkan pegawai khas bekas peguam negara, Siti Rahayu Mohd Mumazani - mengandungi tuduhan bahawa sejumlah RM9.5 juta dibayar kepada Shafee dari akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak antara 2013 dan 2014.
Afidavit difailkan berhubung saman Presiden PKR Anwar Ibrahim terhadap kerajaan atas dakwaan dia tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat sebelum ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan merayu oleh Shafee selepas mereka mendengar penghujahan pihak-pihak yang berkaitan dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian menerusi Zoom pagi ini.
Keputusan itu disampaikan pengerusi panel, Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf. Dua lagi panel ialah hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini dan Harmindar Singh Dhaliwal.
“Kami membatalkan permohonan (untuk kebenaran) ini kerana perkara (yang dikemukakan Shafee berhubung kobolehterimaan afidavit itu) boleh diajukan di hadapan panel (Mahkamah Persekutuan) dalam pendengaran pada Mac ini," katanya.
Hakim juga memutuskan tiada kos dalam permohonan tersebut.
Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh sementara Anwar diwakili Gopal Sri Ram dan J Leela. Kerajaan diwakili oleh peguam kanan persekutuan Suzana Atan.
Terima pengampunan Agong
Terdahulu semasa prosiding hari ini, Gopal dan Suzana berhujah permohonan kebenaran itu wajar ditolak kerana isu berkenaan kebolehterimaan afidavit itu masih boleh dibangkitkan semasa pendengaran di Mahkamah Rayuan pada Mac nanti.
Rayuan Anwar dalam saman Liwat 2 terhadap kerajaan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Mac.
Najib kini berdepan empat tuduhan menyalah guna kuasa sebagai perdana menteri untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama.
Pada 29 Nov 2018, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Shafiee untuk memadam afidavit Siti Rahayu dan untuk melakukan soalan balas ke atasnya.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan Shafee untuk mencelah dalam rayuan tindakan sivil ke atas kerajaan oleh Anwar berhubung kes liwatnya.

Menerusi saman pemula terhadap kerajaan yang difailkan pada 9 Jun 2017, Anwar memohon deklarasi bahawa sabitan kesalahan liwat oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah batal dan tidak sah kerana dikatakan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
Dia turut mahu membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan sabitan ke atasnya itu.
Dalam afidavitnya, Anwar mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terhadap sabitan kes liwatnya.
Sabitan bersalah Anwar dan penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Anwar bagaimanapun menerima pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.
Saman pemulanya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov 2017 atas dasar bahawa kes itu kerana tidak mempunyai kausa tindakan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Anwar merayu untuk menghidupkan semula samannya itu.

