Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Che Hamdan urusan dalam, serah pada UiTM - persatuan alumni
Diterbitkan:  Jan 21, 2021 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Dakwaan berhubung seorang kakitangan akademik diminta meletakkan jawatan sebagai penolong rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub dibuat atas kapasiti individu, kata persatuan alumni.

Menurut jawatankuasa eksekutif Persatuan Alumni Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Se-Malaysia (Aspaa), perkara itu sebaiknya diserahkan kepada pentadbiran UiTM bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Sebagai sebuah pertubuhan alumni dan badan bukan kerajaan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, Aspaa berpandangan bahawa isu ini adalah merupakan urusan pentadbiran dalaman UiTM dan menyerahkan sepenuhnya kebijaksanaan kepada pihak pentadbiran UiTM dalam mencari solusi yang terbaik selaras dengan pekeliling/peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa.

“Aspaa juga ingin menegaskan bahawa sebarang dakwaan atau surat terbuka yang dikeluarkan tersebut adalah atas kapasiti individu yang menandatangani surat terbuka itu dan tiada hubung kait dengan pendirian rasmi Aspaa sebagai sebuah pertubuhan alumni FSPPP yang berkecuali dan tidak mencampuri urusan pentadbiran dalaman UiTM,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan Malaysiakini semalam yang bertajuk, “Dakwaan pensyarah dipaksa letak jawatan, alumni mahu penjelasan” .

Seramai sembilan alumni FSPPP UiTM Raub memohon penjelasan UiTM berhubung dakwaan melibatkan pensyarah kanan fakulti, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali.

Kata mereka, dakwaan itu adalah satu hal yang mengejutkan memandangkan Che Hamdan baru sahaja dinaikkan pangkat ke jawatan itu pada 15 Jun.

Antara sembilan nama tersebut merupakan mereka yang terdiri daripada mantan presiden kelab AdminUS (Administrative United Students Society), dan mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Surat itu hadir selepas muncul ciapan di Twitter mendakwa seorang kakitangan UiTM diminta meletakkan jawatan kerana dikatakan membenarkan lawatan sambil belajar pelajar ke ibu pejabat sebuah parti pembangkang.

Che Hamdan ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu. Malaysiakini sejak semalam telah menghubungi UiTM dan sedang menunggu maklum balasnya.

Lihat Komen
ADS