Malaysiakini
BERITA

Ekonomi kekal dalam jajaran pemulihan, IP naik 7.1 peratus

Diterbitkan

Malaysia dijangka kekal berada dalam jajaran pemulihan berdasarkan peningkatan Indeks Pelopor (IP) sebanyak 7.1 peratus kepada 109.1 mata pada November 2020 berbanding 120.1 mata pada tempoh sama 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

IP merupakan kaedah bagi menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan bulanan IP juga menunjukkan trend meningkat apabila mencatat pertumbuhan 0.4 peratus pada November 2020 berbanding - 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh Import Benar Semi Konduktor (0.5 peratus) yang dipacu oleh permintaan litar bersepadu elektronik yang menggalakkan.

“Walaupun prestasi IP lebih baik, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri terpilih untuk mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi serta pengagihan vaksin, menimbulkan ketidakpastian di masa hadapan.

“Oleh itu, IP memberikan harapan bahawa ekonomi kekal berada dalam jajaran pemulihan walaupun momentum pemulihan berkemungkinan terkesan,” katanya.

Selain itu, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia kekal meningkat secara signifikan pada bulan di bawah rujukan, disokong terutamanya oleh Indeks Penjagaan Kesihatan.

Mohd Uzir berkata Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, meningkat 0.4 peratus kepada 112.4 mata pada bulan rujukan daripada 112.0 mata pada Oktober 2020.

Komponen utama yang mempengaruhi peningkatan adalah Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencatatkan 0.2 peratus.

“Pada masa yang sama, IS mencatatkan perubahan tahunan negatif 2.3 peratus pada November 2020 daripada negatif 2.4 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengulas prospek ekonomi suku tahunan, beliau berkata pertumbuhan ekonomi pada suku tahun keempat 2020 dijangka perlahan berbanding suku ketiga 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disasarkan di kebanyakan negeri untuk mengurangkan lonjakan kes pandemik.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.