Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan mesyuarat bersemuka: Tak ada sebab tak patuh, kata Ismail Sabri
Diterbitkan:  Jan 26, 2021 6:12 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak ada sebab mengapa ada kalangan kementerian untuk tidak mematuhi arahan agar tidak mengadakan mesyuarat bersemuka.

Kata menteri kanan itu satu daripada larangan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 ini ialah mesyuarat secara bersemuka.

Justeru kata Ismail Sabri tidak ada sesiapa yang boleh terkecuali daripada peraturan dan arahan yang dikeluarkan itu.

Malah katanya mesyuarat MKN sendiri dijalankan secara maya saja.

"Justeru tidak ada sebab kenapa ada kalangan kementerian yang tidak patuh kepada arahan yang dikeluarkan," katanya pada sidang media harian di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak - yang tidak dinamakan - sama ada sektor swasta atau jabatan kerajaan yang masih meneruskan mesyuarat secara bersemuka pada waktu PKP sekarang.

Kata Ismail Sabri kerajaan tidak mahu wujud dwistandard dalam amalan bermesyuarat.

"Kalau rakyat (sudah) patuh, maka di pihak kementeian juga mesti patuh kepada arahan yang dikeluarkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS