story image

Vaksin akan sampai di Malaysia pada bulan Mac 2021. Pakar menyatakan bahawa vaksin bukan magic bullet atau ramuan ajaib yang boleh menyelesaikan 100 peratus pandemik Covid-19 yang bermula pada awal 2020.

Persoalan yang timbul daripada vaksin ini ialah keberkesanan dan juga kesan sampingan daripada pengambilan vaksin ini. Perkara ini sedang dibincangkan dengan hangat dalam masyarakat.

Satu perkara yang harus diingatkan, vaksin telah mendatangkan lebih banyak manfaat kepada masyarakat dunia dengan berkurangnya kematian disebabkan sesuatu penyakit. Kehilangan nyawa yang lebih ramai, apatah lagi yang melibatkan keluarga terdekat adalah lebih menyakitkan untuk dihadapi.

Bagaimana seharusnya langkah yang perlu diambil untuk menyelamatkan lebih ramai nyawa daripada melayang? Kita tidak mahu lagi mendengar seorang lagi tumbang kerana Covid-19, apatah lagi jika sekiranya mereka ialah frontliners (barisan hadapan). Ia adalah satu tragedi dan amat menyedihkan.

Pada hari ini, bilangan mereka yang terkesan semakin meningkat. Ia menggambarkan langkah-langkah pencegahan tidak lagi efektif kerana sesiapa sahaja boleh dihinggapi virus Covid-19. Keadaan ini membimbangkan seolah-oleh polisi kesihatan awam tidak lagi berkesan. Di manakah kesilapannya?

Kaedah yang digunakan selalunya ialah pencegahan lebih baik daripada pengubatan. Pada hari ini terdapat dua kaedah bagaimana menentukan siapa yang dihinggapi oleh virus Covid-19.

Kaedah PCR mengambil masa yang lebih lama untuk mengetahui keputusan sama ada seseorang positif ataupun negatif Covid-19. Kaedah ujian Covid-19 menggunakan RTK pula menjamin keputusan yang cepat.

Sebagai seorang rakyat biasa dan bukan daripada pengamal perubatan dan pemahaman daripada kaedah sunnah dalam berdepan dengan wabak, langkah yang terbaik ialah mengelakkan lebih ramai daripada terkesan dengan virus yang sedang mengganas di Malaysia dan global sekarang ini.

Oleh itu, mengesan mereka yang didapati positif Covid-19 dan mengasingkan mereka dengan cepat adalah kaedah yang terbaik. Sekiranya ada ujian yang memberi keputusan lebih cepat daripada RTK, ujian ini wajib digunakan.

Herd immunity ialah satu cara untuk memastikan pandemik dikawal. Namun, ia akan mengambil masa yang lama kerana 70 peratus rakyat Malaysia mesti divaksinasikan sebanyak dua dos untuk setiap orang sedangkan bekalan tidak mencukupi untuk semua dalam masa yang singkat. Oleh itu, pemberian vaksin kepada kumpulan yang utama terutama barisan hadapan adalah satu keharusan.

Cabaran logistik

Pada masa yang sama, mentadbir bagaimana vaksin akan disuntik kepada 70 peratus rakyat Malaysia akan menjadi satu cabaran yang besar dari sudut logistik. Di sinilah nanti kita mengharapkan pelaburan yang tinggi untuk mendapat bekalan vaksin akan dioptimumkan.

Seluruh tenaga dalam sektor perubatan hendaklah dilibatkan termasuk mereka yang sudah lama berkhidmat dan pencen daripada perkhidmatan. Khidmat mereka diperlukan dan mereka banyak berjasa kepada rakyat sebelum ini. Beri mereka laluan untuk menabur bakti dan meneruskan jasa mereka.

Selain daripada perubahan tingkah laku yang selalu diperingatkan kepada rakyat, rakyat juga ingin melihat perubahan dalam kaedah berdepan dengan pandemik Covid-19 daripada pihak berwajib.

Pada saat kritikal begini, kepimpinan negara haruslah memastikan polisi yang digubal adalah yang terbaik kerana pencegahan bermula daripada polisi yang berkesan. Gembleng seluruh tenaga pakar dan pengamal perubatan yang ada untuk memastikan rakyat selamat.

Akhirnya, setelah segala usaha yang terbaik telah difikirkan dan dilaksanakan dengan sebaiknya, kepada Allah tempat sebaik-baiknya kita bergantung pengharapan dan doa kita agar pandemik Covid-19 cepat berlalu pergi.


DR AHMAD ZAINUDDIN ABDULLAH ialah Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS