Polis Pulau Pinang hari ini mengesahkan pergerakan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak sempena sambutan Thaipusam mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak menjaga keamanan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang pergerakan ke Kuil Nattukottai Chettiar, di Jalan Air Terjun George Town awal pagi tadi.

"Sebenarnya bukan perarakan tapi pergerakan pedati dan ia juga telah diluluskan oleh MKN, jadi PDRM seperti biasa bertugas untuk menjaga keamanan bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang pergerakan tersebut.

"Selain itu kami juga memastikan tiada gangguan trafik sepanjang pergerakan pendati berkenaan.

"Pergerakan bermula 3.30 pagi tadi itu berjalan lancar dan baik, tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut sahabudin pergerakan pedati itu menggunakan laluan sejauh 7km iaitu lebih dekat berbanding tahun lalu iaitu 9km dan bermula dari Lebuh Penang melalui Lebuh Chulia, Jalan Transfer, Jalan Burma, Jalan Anson, Jalan Macalister secara melawan arus seterusnya ke Jalan Utama sebelum tiba di Jalan Kebun Bunga dan Kuil Nattukottai Chettiar.

Sahabudin berkata untuk pergerakan balik pada Jumaat ini ke Kuil Kovil Veedu di Lebuh Penang, pedati perak itu akan menggunakan laluan sama dengan mengikut kesesuaian jalan dan diawasi pihak polis sepanjang perjalanan tersebut serta tidak akan berhenti di mana-mana.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak berkumpul atau mengekori pergerakan pedati perak itu ketika kerana mereka boleh dikenakan kompaun jika mengingkari arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami telah memaklumkan kepada penganjur iaitu tidak membenarkan orang ramai berkumpul dan hanya 10 petugas sahaja boleh mengiringi pedati tersebut.

"Pagi tadi pengurusan kuil mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan itu.

"Ini bukanlah perarakan Thaipusam seperti biasa tetapi hanyalah pergerakan pedati yang perlu mematuhi SOP yang ketat. Orang ramai tidak perlu berada di kawasan kuil dan sepanjang laluan pergerakan pedati itu, mereka boleh sembahyang di kediaman masing-masing," katanya.

Perarakan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak itu bergerak dari Kuil Kovil Veedu pada jam 3.30 pagi ditarik dua lembu dan diiringi 10 petugas kebanyakannya pegawai kuil dan tiba di Jalan Air Terjun kira-kira 5.45 pagi.

- Bernama