Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Kelantan sedia perigi sebelum air kerajaan buat hal

'Sediakan payung sebelum hujan', peribahasa itu menjadi sandaran betapa keperluan tradisi seperti perigi atau telaga perlu dipertahan walaupun kemudahan bekalan air terawat kini disediakan oleh pihak berwajib.

Bagi penduduk di negeri Kelantan, keupayaan bekalan air yang disediakan kerajaan sehingga kini dilihat belum cukup meyakinkan kerana sering kali terganggu dengan pelbagai masalah.

Masalah itu barangkali menjadi isu biasa dan bersifat di luar jangka di mana-mana negeri sekali pun, sebelum tindakan susulan untuk memperbaiki keadaan diambil oleh pihak yang bertanggungjawab.

Justeru tiada pilihan, bagi sebahagian penduduk melainkan terus mengekalkan perigi di kediaman masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya bekalan air yang disediakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengalami masalah.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa lokasi yang terjejas bekalan air selepas berlaku kerasakan paip di Loji Rawatan Air Merbau Chondong, Machang, sejak beberapa hari lalu, mendapati sebahagian penduduk terlibat tidak terlalu terjejas dengan adanya kemudahan perigi di rumah khususnya di kawasan perkampungan.

Namun malang bagi kebanyakan kawasan perumahan baru yang tidak mempunyai kemudahan tradisonal itu kerana bergantung penuh kepada bekalan air disediakan kerajaan.

Maka mereka terpaksa mencatu dan menanti kehadiran lori tangki yang datang mengagihkan bekalan air secara berjadual sekali gus menghadkan aktiviti harian yang memerlukan sumber air.

Bagi Maziani Mohamed, 38, keluarganya mengekalkan penggunaan perigi di rumah walaupun dalam masa sama menjadi pelanggan kepada bekalan air disediakan AKSB.

Katanya, mereka terpaksa mengekalkan perigi walaupun lebih 20 tahun menjadi pelanggan kepada syarikat bekalan air berkenaan.

"Kami terpaksa mengekalkan telaga biar pun dah lebih 20 tahun turut melanggan bekalan daripada AKSB, ini kerana perkhidmatan air yang disediakan sering terganggu. Itu belum kira ada ketikanya kualiti air teruk seperti berkarat dan kotor.

"Jadi dengan adanya telaga ini, boleh dijadikan sumber kedua apabila bekalan air terawat terputus," katanya ketika ditemui di Kampung Cherodok, Machang, hari ini.

Sebagai rekod, Malaysiakini sebelum ini melaporkan lebih 32,000 akaun pengguna perkhidmatan AKSB terjejas selepas berlaku kerosakan paip di Loji Rawatan Air Merbau Chondong.

Di Machang, gangguan itu membabitkan 16,000 akaun, Pasir Puteh (9,539), Kota Bharu Selatan (5,979) dan Kota Bharu Timur (500).

Sementara itu pengguna perkhidmatan AKSB, Rugayah Ali, 66, dari Kampung Jakar, Machang berkata, mereka sekeluarga turut mengekal penggunaan perigi secara tradisional sebagai sumber air bersih.

Katanya, perigi yang digali sejak tahun 80-an itu membekalkan air yang jernih dan bersih sesuai untuk keperluan harian.

"Walaupun ada bekalan air oleh kerajaan, saya sekeluarga turut bergantung kepada bekalan air perigi sebagai sumber bekalan kedua.

"Kalau bekalan air disediakan pihak AKSB terputus, kami tiada masalah sangat sebab boleh guna air telaga. Cuma susah sikitlah sebab tak boleh guna paip," katanya.

Penduduk Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh, Wan Muhammad Baihaqi Wan Hamat, 30, pula berpendapat kebanyakan penempatan di kawasan kampung di daerah itu masih bergantung kepada sumber bekalan air perigi.

Tanpa menafikan kepentingan sumber air disediakan syarikat kerajaan katanya, penggunaan perigi masih meluas.

"Ia bergantung kepada lokasi penempatan itu sendiri. Jika di kampung kebanyakan menggunakan perigi dan ia jadi keperluan, kerana sumber air sepenuh.

"Selain itu ada juga yang guna alternatif lain seperti menggunakan kaedah telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air.

"Penggunaan perigi biasanya sebagai langkah berwaspada sekira berlaku gangguan bekalan yang disediakan pihak berwajib," katanya yang turut masih mengekalkan penggunaan perigi di rumah keluarganya.

Sementara itu bagi Rosli Abdullah, 50, yang tinggal di perumahan Taman Wadi Iman, Kok Lanas, terpaksa menyediakan tangki tambahan dalam tempoh bekalan air disediakan pihak AKSB terjejas.

"Saya sediakan tangki tambahan untuk simpan bekalan air yang diagihkan secara berjadual oleh AKSB.

"Sebab di sini kita bergantung sepenuhnya kepada bekalan air disediakan kerajaan, kalau ada gangguan kami terpaksa mencatu dan membuat simpanan untuk kegunaan harian," katanya ketika ditemui.

Lihat Komen
ADS