Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas Adun Lembah Jaya meninggal dunia, pengebumian diuruskan KKM
Diterbitkan:  Feb 3, 2021 2:24 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Ketua Umno Ampang, Ismail Kijo, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Berita mengenai bekas Adun Lembah Jaya itu dikhabarkan Pengerusi Umno Selangor Noh Omar menerusi ucapan takziahnya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

"Dukacita dimaklumkan sahabat saya dalam Perhubungan Umno Selangor, Dato' Ismail Kijo kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Sungai Buloh.

"Sama-sama kita doakan semoga allahyarham diletakkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh.

"Salam takziah kepada seluruh anggota keluarga, al-Fatihah," katanya.

Sebagai rekod Ismail menjadi wakil rakyat Lembah Jaya dari 1994 hingga 2013.

Difahamkan urusan pengkebumiannya dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan arwah disahkan positif Covid-19.

Sementara itu bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo, turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ismail.

"Dukacita dimaklumkan bahawa Dato' Ismail Kijo Ketua Bahagian Ampang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Sungai Buloh.

"Semoga allahyarham diletakkan bersama-sama orang yang beriman dan ditempatkan di syurga yang penuh nikmat," katanya dalam hantaran di Facebook.

Difahamkan Ismail, 69, adalah antara kontak rapat kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang disahkan positif pada 14 Jan lalu.

Malaysiakini juga difahamkan, isteri arwah, Rozana Ismail, juga positif COvid-19 tetapi sudah sembuh dan menyelesaikan tempoh kuarantin di rumah.

Lihat Komen
ADS