Sistem kebenaran eksport Covax pastikan ketelusan agihan, kata wakil EU
Eksport vaksin COVID-19 ke negara ketiga, termasuk Malaysia, di bawah Perjanjian Pembelian Hadapan (APA) yang ada akan dilindungi sebaiknya, kata Michalis Rokas, Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia.
Menurutnya EU sedia maklum mengenai kontrak Kebenaran Pembelian Hadapan Malaysia, dan akan berusaha memastikan harapan Malaysia itu dipenuhi.
"Kami telah meminta semua syarikat dengan pembuatan APA di EU untuk memenuhi kewajiban terhadap komitmen yang telah dijanjikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, EU dan Belgium telah memberi jaminan untuk memenuhi perjanjian pembekalan vaksin dengan Malaysia.
Khairy berkata dengan jaminan Duta EU dan Belgium, rancangan imunisasi COVID-19 Malaysia dijangka bermula mengikut perancangan.
Katanya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) maklum mengenai pengumuman EU baru-baru ini mengenai kawalan eksport ke atas vaksin OVID-19 yang dihasilkan di blok itu.
"Berkenaan vaksin Pfizer yang dihasilkan di Puurs, Belgium, Duta Belgium telah memberikan jaminannya bahawa Perjanjian Pembelian Hadapan dengan Pfizer akan dipenuhi selepas Pfizer memohon untuk kelulusan mengeksport dan vaksin akan dihantar mengikut jadual mulai bulan ini, " menurut Khairi.
Rokas berkata, sistem kebenaran eksport Covax yang diwujudkan EU, bermula pada 30 Januari, bukan satu larangan eksport, tetapi adalah mekanisme untuk memastikan ketelusan agihan vaksin yang dibuat oleh syarikat-syarikat yang telah menandatangani kontrak EU.
Katanya, kebenaran eksport akan memastikan ketelusan dalam pasaran yang sensitif, selain mengelakkan penjualan semula, masalah perundangan dan penyeludupan.
"Ia akan dilakukan dengan segera bagi mengelak kelewatan,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata Malaysia dijangka menerima kumpulan pertama vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech pada 26 Feb ini.
- Bernama

