Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Percaturan kerusi untuk kuasa menjelang PRU ke-15

Pengisytiharaan darurat masih menjadi kontroversi dalam kalangan rakyat. Alasan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk tidak membubarkan parlimen kerana Covid-19 telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Sama ada Muhyiddin cuba mengelak ujian keabsahan di parlimen atau bukan, darurat ini dilihat orang awam sebagai persiapan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan pilihan raya umum selepas ia berakhir.

Pergelutan di antara Umno dan PN semakin kritikal. Situasi ini juga memberi gambaran awal akan berlakunya pertindihan kerusi antara Umno, PAS dan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, khususnya di kerusi parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia.

Persoalannya, adakah Umno akan memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi parlimen parti itu yang 'dibawa lari' oleh bekas ahli mereka pada PRU ke-14?

Parti mana yang akan mendapat kelebihan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara Bersatu, Umno dan PAS?

Ketiga-tiga parti yang membolehkan PN ini berdiri sekarang pernah bertembung pada PRU lalu. Terdapat 47 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung menyaksikan pertembungan di antara Bersatu, PAS dan Umno.

Hanya dua kerusi parlimen menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Umno dan Bersatu, iaitu Kota Tinggi dan Pengerang di Johor.

Daripada 47 kerusi tersebut, Umno menang 30 kerusi, Bersatu 10 kerusi dan selebihnya PAS. Untuk kerusi parlimen dengan 80 peratus pengundi Melayu, Umno menang sebanyak 23 kerusi, PAS 7 kerusi dan Bersatu tiga kerusi.

Sukar tandingan kekuatan Umno

Bagi kerusi parlimen dengan pengundi Melayu antara 60 hingga 79 peratus, Umno dan Bersatu masing-masing mendapat tujuh kerusi dan PAS gagal meraih walaupun satu kerusi.

Ini menunjukkan persaingan sengit Umno dan Bersatu berlaku di kerusi majoriti Melayu bawah 80 peratus.

Terdapat dua kerusi parlimen yang mempunyai pertembungan di antara Umno dan Bersatu pada PRU ke-14, iaitu parlimen Kota Tinggi dan Pengerang di Johor yang mempunyai 70 peratus pengundi Melayu. Umno berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi itu dengan perbezaan margin 38.2 peratus di Kota Tinggi dan 35.4 peratus di Pengerang.

Ini jelas menunjukkan PAS tidak mempunyai pengaruh besar di kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Melayu bawah 70 peratus. Begitu juga Bersatu yang sukar menandingi kekuatan Umno di kerusi parlimen majoriti Melayu meskipun berjaya merampas kerusi tradisi Umno.

Gambar hiasan

Pengaruh Umno masih lagi kuat bertanding tiga penjuru antara Bersatu dan PAS. Maklumat ini menjadi penunjuk awal mengapa Umno tidak akan memberi laluan kepada Bersatu bertanding di kerusi-kerusi mereka, termasuk 11 kerusi parlimen Umno yang telah 'dipindahkan' ke Bersatu seperti Larut, Hulu Terengganu dan Jeli.

Umno akan menjadikan data ini sebagai alasan untuk mereka bertanding sendiri pada PRU akan datang. Justeru, di manakah Bersatu akan bertanding untuk nanti?

Umno akan menjadi penghalang terbesar buat Bersatu di setiap kerusi-kerusi parlimen majoriti Melayu. Formula Bersatu untuk bertanding lebih 50 kerusi parlimen seperti PRU lalu tidak lagi relevan.

Untuk mengelak pertembungan tiga penjuru, Umno, Bersatu dan PAS tidak boleh bertanding lebih 50 kerusi parlimen di Semenanjung. Ada kemungkinan besar kerusi-kerusi tradisi milik MCA, MIC dan Gerakan akan diambil Bersatu sebagai alternatif untuk menambah jumlah kerusi berbanding Umno.

Tiada peluang cerah

Pada PRU ke-14, MCA bertanding 39 kerusi parlimen di Semenanjung, MIC sembilan kerusi, Gerakan 11 kerusi, dan MyPPP satu kerusi. Maka, Bersatu akan mengintai peluang bertanding di 60 kerusi parlimen ini pada PRU ke-15.

Perkara ini tidak mustahil memandangkan blok Azmin Ali akan menggunakan formula PH dan PKR dengan meletakkan calon Bersatu di parlimen campuran di kawasan bandar dan separa bandar.

Prestasi buruk MCA dan MIC pada PRU ke-14 akan menjadi faktor utama Bersatu untuk mereka meletakkan calon mereka di 60 kerusi BN tadi. Namun, sejauh manakah MCA dan MIC akan memberi laluan kepada Bersatu? Adakah Umno juga akan cuba mendapatkan kerusi tradisi MCA dan MIC?

Bersatu akan menempuh laluan yang sukar dan mungkin tidak boleh mengelak pertembungan dengan BN (Umno, MCA dan MIC) di semua kerusi parlimen Semenanjung. Maka memang Bersatu tidak ada peluang cerah untuk bertanding secara selesa lagi seperti yang dialami mereka pada PRU ke-14.

Situasi Bersatu akan menjadi lebih rumit apabila pertembungan tiga penjuru berkemungkinan besar memberi kelebihan pula kepada PH.

Daripada 47 kerusi parlimen yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Umno, PAS dan Bersatu dulu, terdapat 24 kerusi parlimen yang dimenangi dengan perbezaan margin di bawah 10 peratus: Umno menang 14 kerusi parlimen, dan PAS serta Bersatu masing-masing lima kerusi.

Kesemua 24 kerusi marginal itu juga boleh menjadi sasaran untuk PH yang mahu melengkapkan kemenangan sekurang-kurangya 112 kerusi parlimen di Semenanjung pada PRU akan datang.

Gambar hiasan

Faktanya, persaingan di kerusi-kerusi Melayu akan hampir sama dengan kerusi campuran dan bukan Melayu pada PRU ke-15. Tidak ada satu parti yang akan mendapat undi penuh daripada pemilih Melayu.

Undi bukan Melayu pula akan menjadi penting untuk menjamin kemenangan di kerusi majoriti Melayu di Semenanjung meskipun jumlahnya kurang daripada 10 peratus.

Persoalannya, bolehkah parti-parti yang berjuang berlandaskan platform perpaduan Melayu semata-mata mengecapi kemenangan apabila PRU ke-15 diadakan nanti?

Besar kemungkinan gabungan parti politik yang berjaya meyakinkan rakyat Malaysia merentasi kaum ialah formula terbaik untuk menang. Formula gabungan parti politik yang cuba membawa sentimen eksklusif untuk sesuatu kaum akan berhadapan dengan masalah kerana persaingan terbuka ini memerlukan undian setiap kaum untuk menjamin kemenangan.

Malah, gabungan politik yang tidak mempunyai perwakilan daripada pelbagai kaum sukar mencari keseimbangan dan kestabilan politik apabila memerintah.

Situasi ini memberi peluang kepada PH untuk menang dan membentuk kerajaan sekali lagi pada PRU ke-15. Acuan PH yang mementingkan prinsip integriti, reformasi dan kepelbagaian kaum dilihat mampu memberi tawaran terbaik buat rakyat Malaysia untuk keluar daripada krisis politik, ekonomi dan kesihatan seperti dialami di bawah pemerintahan kerajaan minoriti PN.

Namun, sejauh manakah PH mampu bangkit semula untuk membentuk perpaduan pihak pembangkang menjelang PRU ke-15?


FAKHRURRZAI RASHID ialah penyelaras penyelidik Research For Social Advancement (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS