Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LPM teliti sistem pentaksiran SPM agar sesuai zaman
Diterbitkan:  Feb 7, 2021 10:26 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) Pkharuddin Ghazali mengesahkan pihaknya telah melakukan langkah transformasi terhadap sistem pentaksiran Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Jelasnya, perbincangan telah diadakan antara LPM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pentaksiran SPM bersesuaian peredaran zaman.

"Pemikiran ke arah penambahbaikan sistem pentaksiran sedang dibuat melihat kepada perkembangan semasa dan trend pentaksiran masa kini," katanya seperti dipetik portal Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk pakar perlu diadakan sebelum keputusan dibuat.

Terdahulu, bekas timbalan pengarah LPM, Khodori Ahmad dilapor berkata sistem peperiksaan itu wajar menjalani proses transformasi bersesuaian dengan perkembangan zaman dan teknologi maklumat.

Jelasnya yang berpengalaman lebih 30 tahun bersama LPM, sekiranya tiada perubahan dilakukan, negara akan dilihat ketinggalan zaman kerana terus menggunakan cara tradisional.

Khodori juga mengingatkan sebarang usaha mengubah sistem peperiksaan SPM perlu dilakukan secara berhati-hati dengan membezakan antara SPM sebagai pensijilan dan SPM sebagai peperiksaan.

"Pensijilan SPM yang menunjukkan tahap pencapaian pendidikan murid Tingkatan Lima perlu dikekalkan dan dipertahankan kerana sudah diiktiraf di seluruh dunia.

"Cadangan saya ialah kita transformasikan peperiksaan SPM tanpa mengubah status dan kedudukan pensijilan SPM," katanya seperti dilapor Bernama.

Sementara itu, Pkharuddin menambah, penelitian pentaksiran SPM memerlukan banyak kaedah berdasarkan setiap mata pelajaran tertentu.

"Jadi itu yang kita sedang teliti dan fikirkan kaedah bersesuaian dan memerlukan sedikit masa.

"Cuma belum sampai masa untuk kita kata bagaimana kaedah semua itu," katanya.

Lihat Komen
ADS