Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mana jawatankuasa bebas darurat, soal Lim
Diterbitkan:  Feb 7, 2021 6:08 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa jawatankuasa bebas masih belum dibentuk, setelah hampir sebulan proklamasi darurat.

Lim berkata, perkara itu sepatutnya yang menjadi keutamaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas "empat minggu tertangguh".

"Sehingga kini, jawatankuasa bebas untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat yang diumumkan perdana menteri pada 12 Januari belum dibentuk, walaupun PH memberi respon positif dengan menamakan calon untuk menganggotai jawatankuasa.

"Penangguhan hampir empat minggu ini perlu menjadi perhatian utama Perdana Menteri, bukannya Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) antara Malaysia dan Indonesia yang akan bergantung keada kemampuan kedua-dua negara mengawal wabak," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, "mengejutkan" apabila pentadbiran Muhyiddin mempunyai keutamaan yang salah, di saat wabak Covid-19 semakin buruk, pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan dan pengisytiharan darurat.

Dalam pengumumannya pada 12 Januari, Muhyiddin berkata jawatankuasa itu akan terdiri daripada pakar serta ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, ia antara lain berperanan menentukan sama ada keadaan Covid-19 telah mereda dan pilihan raya selamat dilakukan.

Pada 21Jan, PH menamakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke (Seremban) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) untuk menyertai jawatankuasa itu.

Sementara itu, Lim turut mempersoalkan keutamaan perbincangan RGL Malaysia dan Indonesia di saat kedua-dua negara masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Kata anggota Parlimen Iskandar Puteri itu lagi, apa yang diperlukan adalah pembaharuan sepenuhnya strategi negara dalam menghadapi wabak tersebut.

"Masih belum terlambat untuk melancarkan strategi 'keseluruhan kerajaan; dan 'keseluruhan masyarakat' dalam perang menentang Covid-19," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS