DAP persoal tiada wakil KSM, pekerja anggotai Majlis Pekerjaan Negara
DAP mempersoalkan keputusan kerajaan tidak melantik wakil daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan wakil pekerja sebagai anggota dalam Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
Pengerusi Biro Buruh DAP, A Sivanesan berkata ini merupakan kali pertama tiada wakil KSM dalam NEC bagi mengetengahkan masalah yang dihadapi kira-kira 15 juta pekerja di Malaysia.
"Sebarang isu pekerja perlu melibatkan tiga pihak iaitu majikan, pekerja dan KSM.
"Adakah ini bererti PMO, para ahli akademik dan majikan memahami isu penderitaan kaum pekerja yang menjadi mangsa penularan pendemik covid-19 lebih daripada KSM dan wakil pekerja seperti MTUC," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas pelantikan 10 tokoh dalam sektor korporat, industri dan pendidikan sebagai anggota NEC yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.
Dilaporkan sebelum ini bahawa penubuhan majlis ini bagi menangani isu pengangguran dan ketidaksepadanan pekerjaan bagi mencapai objektif pemadanan modal insan berdasarkan permintaan industri.
Menurut kenyataan PMO, menerusi koordinasi rapat di antara kerajaan dan industri, dianggarkan lebih 160,000 pekerjaan baru bakal diwujudkan bagi tahun 2021 melalui komitmen pelaburan.
Bagaimanapun Sivanesan menyifatkan pelantikan anggota NEC tanpa penglibatan wakil KSM dan wakil pekerja sebagai 'tempang' dengan kemungkinan tindakan majlis berkenaan hanya akan memihak kepada satu pihak sahaja.
"Oleh yang demikian DAP mendesak PMO supaya membuat penstrukturan semula kepada NEC untuk memastikan tidak ada mana mana 'stakeholder' ketinggalan dalam NEC," kata Adun Sungkai itu yang juga merupakan seorang pengamal undang undang Buruh.
Berikut merupakan 10 tokoh dari sektor korporat, industri dan pendidikan yang telah dilantik secara tetap dalam NEC :-
- Ahmad Nizam Salleh, Pengerusi Petronas merangkap ProCanselor Universiti Teknologi Petronas
- Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional
- Tengku Muhammad Taufik, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas
- Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby
- Dr Syed Hussain bin Syed Husman, Presiden Malaysian Employers Federation
- K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia
- Chee Hong Lee, Pengarah Urusan Infineon Technologies (Malaysia)
- Sean Goh, Pengarah Urusan Grab Malaysia
- Michael Kang Hua Keong, Pengerusi Nasional SME Association of Malaysia
- Soh Thian Lai, Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM)

