Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis antirusuhan dikerah ke Maeps, lepas pesakit 'kantoi' curi telefon
Diterbitkan:  Feb 11, 2021 1:48 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Sepasukan anggota polis antirusuhan daripada unit Light Strike Force (LSF) telah dikerahkan ke pusat kuarantin berisiko rendah Covid-19 di Maeps, Serdang malam tadi.

Ini selepas berlaku kekecohan antara pesakit mengenai kejadian kecurian telefon bimbit.

Kejadian pada jam 10.30 malam itu tercetus apabila sekumpulan pesakit menahan dua pesakit lain kerana disyaki mencuri empat peranti komunikasi itu.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata polis dikerahkan untuk mengawal keadaan setelah pihaknya dimaklumkan oleh doktor.

"Ketika pengadu (doktor) sedang bertugas di Dewan C PKRC Maeps, telah berlaku kekecohan dikalangan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di dewan tersebut.

"Pengadu kemudiannya telah mengaktifkan kod oren dan meminta bantuan daripada pihak polis bertugas bagi meredakan keadaan.

"Pengadu telah menjalankan temub ual dikalangan pesakit mendapati bahawa, berlaku kecurian beberapa buah telefon bimbit dikalangan pesakit.

"Pesakit berkenaan kemudiannya telah menahan dua lelaki yang juga merupakan pesakit di dewan berkenaan kerana disyaki telah mencuri telefon bimbit pesakit yang lain.

"Suspek telah dipindahkan ke Dewan DG bagi tujuan keselamatan. Pengadu juga telah merampas empat buah telefon bimbit disyaki telah dicuri oleh suspek," katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Menurut Kamarul, dua suspek itu akan menghabiskan tempoh kuarantin sebelum dipindah ke lokap polis.

Siasatan awal polis mendapati seorang suspek akan menamatkan tempoh kuarantin hari ini, manakala seorang lagi suspek pada esok hari.

Empat telefon bimbit yang dipercayai dicuri oleh suspek kini disita pasukan penyiasat.

Beberapa klip video pendek tular di platform media sosial termasuk Tik Tok dan Facebook, menunjukkan anggota polis memakai alat pelindung diri (PPE) dengan kelengkapan antirusuhan menangani keadaan tersebut.

Dalam salah satu video tersebut, polis dilihat mengiringi suspek keluar dari dewan, manakala dapat didengar pesakit lain bersorak dengan kuat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS