Malaysiakini
BERITA

Bekas menteri PH: Kabinet 2010 subahat selindung isu 'derma' pada 1MDB

Annabelle Lee

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Feb 2021, 1:31 pagi

Prinsip tanggungjawab bersama bermaksud keseluruhan barisan Kabinet pada 2010 bersubahat dalam menutup dakwaan derma kepada Yayasan 1MDB, menurut seorang bekas menteri PH.

Ini termasuklah perdana menteri semasa Muhyiddin Yassin, Presiden Warisan Shafie Apdal dan beberapa pemimpin Umno termasuk Ahmad Zahid Hamidi, kata Dr Xavier Jayakumar.

Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu berkata, keputusan Kabinet pada tahun itu untuk tidak mendedahkan maklumat kemungkinan satu jenayah.

"Ia pastinya menyembunyikan maklumat daripada pihak berkuasa bagi menghalang persoalan atau malah siasatan lanjut oleh agensi berkaitan.

"Persoalan di sini adalah jika keseluruhan Kabinet terlibat dalam menutup bukti satu jenayah...jika begitu mereka perlu memberi penjelasan," katanya kepada Malaysiakini.

Bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok juga berkata, Kabinet mempunyai tanggungjawab bersama dan bersubahat membiarkan "derma" itu sebagai rahsia.

"Ya (mereka bersubahat).

"Mereka sedar tentang 'derma' dan setuju agar ia disembunyikan daripada pengetahuan umum dan sistem kerajaan," katanya.

Pada Rabu lalu, Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Mazidah Abdul Majid dalam keterangannya di mahkamah berkata, Kabinet pada 2010 setuju untuk tidak mendedahkan dakwaan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Ia selepas perdana menteri ketika itu, Najib Razak memberitahu Kabinet yang Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan Abdul Aziz Al-Saud tidak mahu derma kepada Yayasan 1MDB diketahui umum.

Mazidah yang merupakan saksi pendakwaan ke-11 memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB terhadap Najib.

Terdahulu, ketika perbicaraan pada 27 Sept 2019, pendakwaan menunjukkan empat cek, didakwa dikeluarkan anggota kerabat diraja Arab Saudi kepada Yayasan 1MDB. Cek-cek tersebut dikeluarkan pada 2010 dan masing-masing bernilai AS$25 juta (RM101 juta).

Cek tersebut didakwa dikeluarkan oleh Putera Saud Abdulaziz Al-Saud dan Putera Faisal Turki, dan didakwa diserahkan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho.

Bagaimanapun, cek tersebut tidak pernah ditunaikan.

Pihak pendakwaan juga berkata cek itu mungkin digunakan untuk menyembunyikan sumber dana RM2 bilion yang didakwa ditemui dalam akaun peribadi Najib.

Ketika dihubungi, Menteri Undang-undang ketika itu Nazri Abdul Aziz berkata dia tidak ingat sama ada Kabinet ada membuat keputusan itu atau tidak, 12 tahun lalu.

"Maaf, saya tak boleh ingat," katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi menteri-menteri lain pada tahun itu, antaranya Ahmad Shabery Cheek, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Hishammuddin Hussein, dan Idris Jala, serta pegawai kepada Muhyiddin, Shafie, Zahid, dan Anifah Aman.

Pada 2015, Muhyiddin dan Shafie mengkritik Najib apabila dakwaan berkenaan penyelewengan dana 1MDB mula diperkatakan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.