Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang bekas pegawai kanan di sebuah kementerian mahu mengemukakan saman terhadap bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa bagi menuntut ganti rugi berhubung pemecatan kerja terancang (constructive dismissal).

Pengarah (pentadbiran) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, (Miti) Mohd Ezuwan Hassan berkata, sudah tiba masanya dia mendapatkan keadilan.

"Sehubungan itu, setelah beristiqomah, saya akan mengambil tindakan undang-undang (civil suits) terhadap Tan Sri Ali Hamsa kerana constructive dismissal dan isteri beliau kerana memfitnah dan menghina arwah bapa saya melalui peguam yang akan saya lantik dari Gani Patail Chambers," kata Ezuwan dalam satu kenyataan.

Ezuwan berkata dia juga sudah memaklumkan peletakan jawatan dan persaraan awal dalam perkhidmatan awam berkuat kuasa 30 hari daripada tarikh hari ini.

"Kenapa sekarang? Saya hampir mati kerana Covid-19. Saya ditempatkan di ICU Hospital Sungai Buloh.

"Tuhan ingin memberi saya peluang kedua dalam hidup, untuk memberitahu dan memperjuangkan kebenaran," kata Ezuwan ketika dihubungi Malaysiakini.

Ezuwan berkata pada 18 Jan ketika dia telantar di Hospital Sungai Buloh, dia telah membuat laporan kepada ketua polis negara, Hamid Bador melalui pesanan Whatsapp kepada bekas ketua setiausaha negara, Dr Ismail Bakar.

Katanya, dia merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang telah berkhidmat dengan Ali dari Julai 2012 hingga dipecat pada Julai 2017.

Dia kemudian melanjutkan pelajaran selama dua tahun sebelum menyertai semula perkhidmatan awam dan berkhidmat di MITI.

Dalam kenyataannya, Ezuwan mendakwa dia dipecat kerana mempertikaikan pelbagai isu termasuk skandal 1MDB, campur tangan pihak luar melibatkan isu integriti serta pemilihan dan kenaikan jawatan berdasarkan favouritism.

Ezuwan juga mendakwa wujud campur tangan pihak ketiga termasuk daripada isteri Ali dalam hal ehwal pejabat KSN, selain fitnah terhadap allahyarham bapanya, Hassan Jantan.

Ezuwan berkata, bapanya yang juga merupakan seorang PTD dipindahkan dari Kementerian Pertahanan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2011 setelah membantah rancangan kerajaan menjual tanah milik Kementerian Pertahanan di Sungai Besi kepada 1MDB dengan harga nominal.

Katanya, bapanya bertugas di JPA sebelum meninggal dunia pada 14 Jan 2014, iaitu lima bulan sebelum persaraan allahyarham.

Malaysiakini telah menghubungi Ali untuk mendapatkan komen.

Lihat Komen
ADS