Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) K Saraswathy mempersoal sebarang cubaan untuk membuka semula kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Bantahan itu dibuat setelah Menteri Sumber Manusia M Saravanan dikatakan akan mengadakan mesyuarat atas talian dengan menteri Bangladesh berhubung isu itu awal petang ini.

"Dalam tempoh Covid-19 ini lebih 800,000 rakyat Malaysia telah hilang kerja. Kita kini sudah ada tambahan tenaga kerja tempatan.

"Ini tidak termasuk pekerja asing yang sah dan pekerja asing tanpa izin yang berlambak di Malaysia.

"Jadi, apa keperluan bagi menteri bermesyuarat dengan rakan sejawatya dari Bangladesh mengenai membuka semula membawa masuk pekerja asing," katanya kepada Malaysiakini.

Portal berita Bangladesh The Daily Star semalam melaporkan mesyuarat kerja bersama itu akan diadakan hari ini.

Sumber KSM mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Antara isu yang akan dibincangkan adalah jumlah agensi pengambilan pekerja, sistem atas talian (FWCMS) yang digunakan oleh Malaysia untuk mengambil pekerja dari Bangladesh, cadangan tempoh dan tarikh MoU baru yang akan ditandatangan oleh Kerajaan Malaysia dan Bangladesh," kata sumber itu.

Kerajaan PH pada September 2018 menangguhkan pengambilan pekerja Bangladesh susulan dakwaan penyelewengan dalam proses pengambilan serta kos yang tinggi.

"Adakah KSM sudah menyiasat dakwaan ini? Apa keputusannya?

"Kalau, siasatan masih tidak dihabiskan, kenapa begitu tergesa-gesa untuk mengadakan mesyuarat dengan Bangladesh?" tanya Saraswathy.

Dia juga seorang peguam menggesa kerajaan untuk memfokuskan kepada isu pengangguran rakyat Malaysia, bukan membawa masuk pekerja asing.

"Selepas darurat, negara perlu membaik pulih keadaan ekonomi dengan perlu mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan pekerja asing yang sah dan tanpa izin yang kini turut terjejas teruk akibat pandemik.

"Fikir dulu kebajikan rakyat Malaysia sebelum berbincang isu lain,” katanya.