Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang yang mendakwa dirinya menjadi mangsa ibu yang bersikap mendera dan peguamnya mengheret ketua polis negara (IGP) ke mahkamah berhubung dakwaan penangkapan secara salah hampir tiga tahun lalu.

Anis Nur Izzaty Ruslan dan peguam Siti Zabedah Kasim, atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, memfailkan tindakan undang-undang berhubung penangkapan mereka pada Jun 2018.

Penangkapan itu dibuat setelah Anis Nur mendapatkan perlindungan di rumah Siti Kasim daripada ibunya yang didakwa bersifat mendera terhadapnya.

Saman pemula tersebut bertujuan agar IGP dan satu lagi defendan, iaitu kerajaan Malaysia, mendedahkan nama pegawai polis yang terlibat dalam siri penangkapan salah membabitkan mereka pada Jun 2018.

Anis Nur dan Siti meminta mahkamah mengarahkan defendan memberikan nama penuh, nombor badan (personnel numbers), jawatan dan pangkat semua pegawai yang terlibat, bagi membolehkan mereka mengambil tindakan undang-undang lanjut berhubung penangkapan berkenaan.

Pada 26 Jun 2018, portal The Malay Mail melaporkan polis telah menahan dua wanita tersebut susulan laporan yang dibuat ibu kepada Anis Nur.

Menurut laporan, ibunya membuat laporan yang mendakwa Anis Nur "tidak stabil secara mental" dan "akidahnya dipersoalkan".

Polis juga dilaporkan mengambil Anis Nur di rumah Siti Kasim dan membawanya ke Hospital Kajang bagi memeriksa kesihatan mentalnya, dan peguam itu pula ditahan ketika kejadian tersebut.

Berdasarkan kertas kausa yang dilihat Malaysiakini, saman pemula difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Jan lalu.

Siti Kasim

Dalam afidavit sokongan, Anis Nur mendakwa yang dia ditahan secara salah oleh polis pada 26 Jun 2018, selepas pertemuan dengan pegawai di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Shah Alam.

Dia mendakwa telah dipanggil Jais ke pejabatnya dan ditanya mengenai hubungan dengan ibunya dan sebab dia meninggalkan rumah, bukan berhubung hal berkaitan agama.

Dia mendakwa selepas penahanan itu, polis membawanya ke Hospital Kajang, di mana dia bertemu ibu bapanya.

“Saya dipaksa menjalani ujian-ujian perubatan tertentu tanpa kerelaan saya. Antara ujian yang dijalankan adalah ujian darah, ujian air kencing dan imbasan otak. Saya kononnya diperiksa untuk kesakitan mental.

“Saya berulang kali memberitahu para doktor di situ bahawa saya tidak memberi kebenaran kepada mereka untuk menjalankan ujian-ujian tersebut dan tidak ada apa yang salah dengan kesihatan saya. Namun, doktor-doktor tersebut masih melakukan ujian-ujian tersebut ke atas saya.

“Saya tidak boleh melakukan apa lagi pada waktu tersebut memandangkan terdapat ramai pihak polis di sekitar saya,” kata Anis.

“Plaintif pertama (Siti Kasim) kemudiannya memasuki bilik kecemasan untuk menyelamatkan saya. Saya dengan rela hati meninggalkan hospital tersebut bersama plaintif pertama dan mengikutinya kembali ke rumahnya,” tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, dua hari kemudian (23 Jun 2018) kira-kira jam 9.30 malam, sepasukan polis menyerbu rumah Siti Kasim dan membawanya (Anis Nur) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, meskipun dia telah memaklumkan yang dia tinggal di kediaman Siti Kasim secara sukarela.

Anis Nur mendakwa Siti, yang tidak ada di rumah semasa serbuan itu, kemudiannya datang ke IPD Kajang untuk bertemunya kira-kira tengah malam.

Dia mendakwa polis tidak membenarkan dia bertemu dengan Siti, sebaliknya mereka telah menahan Siti.

“Keterangan saya dirakamkan oleh seorang pegawai polis. Saya kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang dan berjumpa seorang doktor.

“Kemudiannya saya dibenarkan keluar dari hospital tersebut pada lebih kurang pukul 5.30 pagi (24 Jun) dan disuruh kembali untuk temu janji berikutnya pada 28 Jun,” kata Anis Nur.

Dalam afidavit sokongan Siti pula, peguam itu mendakwa polis menangkapnya atas dasar bahawa dia dikatakan menculik Anis Nur dan menghalang pegawai polis daripada menjalankan tugas.

Dia mendakwa selepas polis mengambil keterangannya, dia dibawa ke lokap Balai Polis Semenyih dan kemudiannya ke Mahkamah Majistret Kajang pada kira-kira jam sembilan pagi (24 Jun).

“Permohonan polis untuk reman saya ditolak oleh Majistret yang bijaksana tersebut,” kata Siti.

Dengan pengurusan e-review (dalam talian) kes itu dibuat di hadapan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam, satu lagi pengurusan kes ditetapkan pada 23 Feb.

Kedua-dua plaintif diwakili oleh firma Messrs Saha & Associates.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS