Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo berkata, Umno menyokong usaha menentang penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kerana badan itu mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Katanya, penubuhan IFC juga mencabar Perlembagaan Persekutuan selain menentang hak istimewa orang Melayu.

"Orang Islam di negara ini tak pernah ganggu mereka, kenapa IFC mahu ganggu kita,'' katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kota Melaka, Ahad lalu.

Dr Mohd Khir berkata, justeru itu Umno sebagai sebuah organisasi yang mewakili orang Melayu mengalu-alukan dan menyokong usaha menghalang penubuhan IFC.

Katanya, tindak tanduk penaja IFC membuat 14 tuntutan melampau telah mengganggu gugat perpaduan di negara ini.

''Mereka minta yang bukan-bukan daripada kerajaan, contohnya tak perlu letakkan perkataan Islam pada kad pengenalan dan pembayar zakat tak perlu dikenakan pengecualian cukai," katanya lagi seperti yang dilaporkan dalam laman web, AgendaSelangor.

Tegasnya, adalah menjadi kewajiban ahli UMNO mempertahankan Islam dan memberi ingatan kepada pihak-pihak berkenaan supaya jangan mempertikaikan perlembagaan negara.

Dr Khir mahu ahli-ahli UMNO sensitif dan berani apabila hak mereka dan kedudukan agama Islam dicabar.