Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seramai tiga individu direman selama enam hari bagi membantu siasatan sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 23 Feb itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Semalam, empat individu direman selama lima hari hingga 21 Feb ini bagi membantu siasatan kes sama.

Menurut sumber SPRM, kesemua tujuh lelaki yang berumur 30 dan 39 tahun tersebut merangkumi empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam.

Semalam, pihak berkuasa merampas sejumlah 2,500 keping setem hasil kerajaan bernilai RM250 dan RM10 dengan nilai keseluruhan RM12.5 juta dalam operasi besar-besaran di sekitar ibu negara.

Menurut sumber SPRM itu, setem hasil yang bernilai RM250 dijual di pasaran gelap pada harga RM40 hingga RM60, manakala setem hasil bernilai RM10 dijual dengan harga RM5 hingga RM6.

Menurut sumber itu lagi, sindiket berkenaan turut menjual PLKS yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi kegunaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan setiap PLKS dijual di pasaran gelap pada harga RM700 hingga RM800 sekeping.

Bayaran sebenar bagi mendapatkan PLKS yang dikeluarkan JIM ialah antara RM2,000 dan RM3,000 mengikut sektor pekerjaan yang dipohon, katanya.

Sumber SPRM itu berkata modus operandi sindiket ialah dengan membayar rasuah kepada kakitangan percetakan untuk mencuri keluar setem hasil dan pelekat PLKS dari stor simpanan percetakan dan menjualnya di pasaran gelap melalui tiga orang awam yang lain.

Berdasarkan risikan selama lebih enam bulan dengan kerjasama JIM, sumber itu berkata sindiket dipercayai melakukan aktiviti berkenaan sejak tiga tahun lepas dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tujuh individu berkaitan kes berkenaan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS