Cadangan seorang ahli parlimen di Dewan Rakyat supaya ditukarkan nama Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Lapanganterbang Antarabangsa Tun Dr Mahathir Mohamad diejek oleh ahli parlimen lain terutamanya para penyokong kerajaan.

Wakil Pembangkang, Datuk Kamaruddin Jaffar (PAS-Tumpat) yang bertanyakan soalan tambahan berkata, nama KLIA tidak sesuai kerana ia tidak terletak di Kuala Lumpur tetapi di Sepang.

"Di negara lain Lapanganterbang dinamakan sempen nama pemimpin besar mereka atau mengikut nama lokasi berkenaan. Saya cadangkan nama KLIA ditukar kepada nama bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa membangunkan negara ini,"katanya dengan jelas merujuk kepada Dr Mahathir.

Sebaik sahaja Kamarudin membuat cadangannya kedengaran bunyi ejekan dan "boo" oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional manakala wakil-wakil pembangkang lain kelihatan tersenyum dan ketawa.

"Saya rasa ia bukan satu cadangan yang ikhlas," Badruddin bin Amiruddin (BN-Jerai) pula mencelah.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk S Subramaniam yang mengulas cadangan Kamaruddin itu pula berkata, terpulang kepada Kementerian Pengangkutan untuk menimbangkan syor tersebut kerana KLIA terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

Sebelum Kamaruddin mengemukakan soalan tambahannya itu, Badruddin telah mencadangkan supaya semua nama-nama berbau penjajah yang masih ada di negara ini ditukar kepada nama tempatan.

Katanya nama beberapa tempat yang kekal dengan nama penjajah seperti "Georgertown" adalah suatu yang memalukan kerana penjajahan adalah satu titik hitam dalam sejarah negara.

"Georgetown...mengapa dipanggil George?! Mengapa tidak dipanggil Tanjung? Atau Bunga Tanjung....?"

"Gunakan perkataan Melayulah...kalau guna nama Yap Ah Loy pun okay...asalkan jangan nama Barat, bukan Inggeris. Kita perlu memelihara identiti Malaysia," katanya.

Subramaniam pula menjelaskan, urusan untuk menukar nama jalan, bangunan atau tempat adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Tiada halangan dalam hal ini, terpulang kepada kerajaan negeri menentukannya,"ujar beliau. Berita asal