Seramai 11 lelaki termasuk individu yang dikatakan pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia diberkas polis kerana dipercayai terbabit dalam membuat ancaman untuk menggodam sistem komputer kerajaan.

Sinar Harian melaporkan mereka diberkas dalam tujuh serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor, Pahang selepas melakukan risikan dan intipan sejak seminggu lalu.

Laporan itu memetik Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai berkata, suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun direman selama tiga hari bermula Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997.

"Tangkapan dibuat ekoran ugutan dan ancaman oleh kumpulan berkenaan untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini enam laporan polis diterima di seluruh negara.

"Pada masa ini, pihak polis masih lagi dalam proses menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan," katanya.

MKN menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 26 Jan lalu mengeluarkan notis amaran agar langkah-langkah perlu diambil mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Ini selepas kumpulan penggodam "Anonymous Malaysia" membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial.

Susulan itu, pada 30 Jan, polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap “Anonymous Malaysia” di bawah Seksyen 505 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998).