Perdana Menteri arah henti main "politik banner"
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua pihak di Pulau Pinang berhenti bermain "politik banner atau "politik media" kerana tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah orang Melayu di negeri itu.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua pihak di Pulau Pinang berhenti bermain "politik banner atau "politik media" kerana tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah orang Melayu di negeri itu.
"Tak payahlah main politik banner. Kadang-kadang kalau orang terlalu marah, jadilah begitu tetapi kita selesaikan dengan berbincang dan gunakan saluran yang betul," katanya.
Perdana Menteri juga meminta semua pihak berhenti daripada membuat kenyataan menerusi media kerana ia tidak akan membantu menyelesaikan sebarang masalah.
Becakap dalam sidang akhbarnya selepas merasmikan bangunan Umno bahagian Tanjong di Pulau Pinang, beliau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan beberapa anggota Pemuda Umno yang menaikkan pemidang atau banner untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Abdullah berkata tindakan seumpama itu tidak akan membantu, malah akan mengeruhkan lagi keadaan, kerana isu-isu seperti itu sepatutnya dibincangkan menerusi saluran yang betul.
Menurut laporan Bernama antaranya kain pemidang itu tertulis perkataan "Koh Tsu Koon tidak ikhlas", "Kami diusir secara diam" dan "Kerajaan negeri harus bekukan polisi perumahan". Majlis itu turut dihadiri oleh Koh.
Abdullah berkata perkara itu tidak harus berlaku memandangkan Koh hadir sebagai tetamu.
Perdana Menteri juga berkata masalah orang Melayu di Pulau Pinang akan dibincang berdasarkan kepada fakta-fakta yang dikemukakan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, yang dipengerusikannya.
Abdullah juga mengarahkan Dr Koh mengadakan perbincangan segera dengan semua pihak bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam memajukan orang Melayu di negeri itu.
Katanya, perbincangan itu haruslah diadakan segera supaya ia tidak berlarutan dan tidak ada pihak yang merasa dipinggirkan dalam pembangunan di negeri itu.
Pada masa yang sama, semua agensi yang berkaitan dengan penglibatan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi di Pulau Pinang perlu membuat pembaharuan dan dirombak semula supaya lebih berdaya maju dan benar-benar dapat membantu Bumiputera, katanya.
Ubah pendekatan
Abdullah turut mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Unit Penyertaan dan Penyelarasan Bumiputera Pulau Pinang bagi membantu merangka program pendidikan untuk meningkatkan modal insan Bumiputera di negeri itu.
Katanya masalah yang melibatkan orang Melayu Pulau Pinang itu penting diberi perhatian oleh semua negeri kerana apabila pembangunan sesebuah negeri hendak dirancang, kerajaan harus memastikan tidak ada mana-mana masyarakat yang rasa terbiar atau tertinggal.
Abdullah berkata agensi-agensi kerajaan yang ditubuhkan bagi membantu golongan Bumiputera pula haruslah mengubah pendekatan mereka dengan mengambil kira keperluan semasa orang Melayu.
"Sedangkan keadaan hari ini sudah berubah, cabaran makin hebat, maka agensi-agensi kerajaan juga perlu dicorak semula, dan pendekatan-pendekatan baru diambil supaya lebih berdaya maju dan benar-benar membantu Bumiputera di Pulau Pinang," tambahnya.
Perdana Menteri juga berkata beliau telah mengeluarkan arahan agar kawasan Balik Pulau yang banyak didiami orang Melayu dan dianggap masih ketinggalan berbanding kawasan lain, diberi perhatian sebagai kawasan pembangunan baru.
"Kalau tidak, kawasan Balik Pulau akan terbiar,"' katanya.
Abdullah berkata beliau yakin penduduk Balik Pulau akan menikmati pembangunan hasil daripada pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

