Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur sikap para pegawai kerajaan yang menganggap wakil rakyat sebagai "pengacau " dan enggan memberikan kerjasama kepada mereka.

"Sepatut pegawai-pegawai kerajaan berbaik-baik dengan wakil-wakil rakyat dan tidak menganggap kerajinan wakil rakyat sebagai pengacau."

"Jangan lihat kerajinan wakil rakyat yang bertanyakan tentang pelaksanaan projek sebagai kacau daun. Ini wakil rakyat prihatin yang mahu projek berjalan dengan lancar," katanya semasa berucap di perasmian Perhimpunan Kelab-kelab ADUN (BBC) Seluruh Malaysia di Ipoh malam tadi

Perdana Menteri turut memberi amaran kepada wakil-wakil rakyat yang tidak aktif supaya segera mengaktifkan diri dengan melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada mereka.

"Saya tahu ada wakil rakyat yang aktif dan ada yang tidak aktif... jangan ingat saya tidak tahu. Saya mahu semua aktif dan berusaha bersungguh-sungguh dengan mengambil tahu semua masalah rakyat, perancangan projek pembangunan dan masalah kontraktor dalam kawasan," tambahnya.

Menurut laporan Bernama, Aabdullah juga menegaskan, wakil-wakil rakyat tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat di kawasan mereka.

Katanya, tanggungjawab mereka kepada rakyat bermula sebaik sahaja mereka diumumkan sebagai pemenang pada pilihan aya.

"Undi yang diberikan adalah amanah rakyat yang mahu kita laksanakan tugas... rakyat mahu kita tunaikan janji dan laksanakan tanggungjawab kepada mereka dan inilah yang sentiasa diharapkan oleh rakyat," katanya.

Kata beliau lagi, walaupun bukan semua yang memberi undi tetapi menjadi tanggungjawab mereka untuk berbakti kepada semua penduduk kawasan.

"Wakil rakyat adalah pemangkin utama kepada pembangunan setempat... sebarang masalah projek pembangunan bawa segera kepada pengetahuan Exco, kerajaan negeri atau Menteri Besar," katanya.

Hubungan baik

Beliau berkata jika semua wakil rakyat bertindak segera, InsyaAllah tiada projek yang akan tergendala dan terbengkalai hingga menimbulkan kemarahan dan perasaan kecewa rakyat.

Abdullah juga meminta wakil-wakil rakyat supaya menjalinkan hubungan baik dengan jabatan-jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, mengamalkan perhubungan awam yang baik serta mengadakan networking (rangkaian).

Beliau berkata usaha mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju, Misi Nasional dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan kini menjadi satu tanggungjawab yang mesti diberi keutamaan oleh semua wakil rakyat.

"Kita kena jayakan semua projek yang telah dirancang... tiada pilihan kena laksanakan kerana dengan itu rakyat akan terus bersama-sama dengan kita," kata Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

Di majlis itu kelab-kelab ADUN Seluruh Malaysia turut melafazkan ikrar sokongan kepada kepimpinannya. Lebih 200 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari seluruh negara menghadiri majlis tersebut.

Mereka juga berikrar akan mempertahankan kepimpinan Abdullah daripada sebarang cabaran dan tentangan dari dalam dan luar.

Jamuan malam yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.