Vaksin: 'Dahulukan pekerja pembersihan hospital dari ahli politik'
Langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil vaksin Covid-19 bagi memberi contoh kepada rakyat adalah tindakan yang bagus, tetapi ahli politik lain patut memberi laluan kepada pekerja pembersihan hospital untuk menerimanya terlebih dulu, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“Petugas barisan hadapan perlu divaksin dahulu seperti dirancang dalam fasa pertama, diikuti warga emas, individu berisiko tinggi yang mengidap penyakit kronik dan orang kelainan upaya di fasa kedua.
“Kami percaya pekerja pembersihan hospital juga perlu dikira sebagai petugas barisan hadapan. Jika mereka tidak (menerima vaksin), mereka akan terdedah dengan risiko kerana mengendalikan peralatan yang tercemar (dengan virus),” kata presidennya Dr Subramaniam Muniandy kepada Malaysiakini.

Katanya, walaupun perdana menteri akan menunjukkan contoh yang baik dengan mengambil vaksin, kebanyakan wakil rakyat lain patut menerimanya hanya pada fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Katanya lagi, MMA bagaimanapun akan menyemak semula pendirian berkenaan jika wakil rakyat perlu menghadiri sidang Parlimen atau DUN.
"Ini mungkin sebab yang bagus kerana isu berkenaan pengurusan Covid-19 perlu dibahaskan di Parlimen untuk memastikan ia dikendali dengan baik," katanya.
Minggu lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa anggota Parlimen dan Adun termasuk dalam penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Muhyiddin serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah antara individu pertama yang bakal menerima vaksin, dijadual pada Rabu ini.
Jelas Khairy, petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan akan turut bersama-sama Muhyiddin dan Noor Hisham untuk menerima vaksin Covid-19 pada hari tersebut.

