Bekalan vaksin Covid-19 fasa pertama bagi negeri Kelantan dijadualkan tiba petang esok dengan dibawa menggunakan kenderaan khas dari Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat.

Menurutnya, dua pegawai dan 10 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini, bagi mengiringi konvoi membawa bekalan vaksin berkenaan.

"Empat kenderaan yang terlibat dalam konvoi mengawal dan mengiringi kenderaan khas yang membawa vaksin ke Kelantan esok. Kita jangkakan mereka akan berlepas pulang pagi esok dan dijangka sampai ke Kelantan pada sebelah petang.

"Sepanjang perjalanan, polis di negeri bersempadan termasuk Pahang juga akan membantu mengawal lalu lintas bagi memastikan bekalan vaksin tiba dengan selamat," katanya selepas Majlis Doa Selamat Op Pelali Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Shafien, konvoi tersebut akan membuat perjalanan secara berterusan dan hanya berhenti untuk mengisi minyak kenderaan sahaja.

"Jika ada kepentingan lain, kita hanya akan berhenti dalam perkarangan balai polis sahaja. Kita berharap proses membawa pulang vaksin berjalan lancar," jelasnya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, bagi fasa pertama ini Kelantan dijangka akan menerima sekitar 42,000 dos vaksin Covid-19.

"Untuk fasa pertama kita jangka terima sekitar 42,000 dos, tetapi akan diterima secara berperingkat-peringkat," katanya ketika dihubungi, hari ini.