Kabinet hari ini memutuskan untuk menangguhkan langkah polis mengurangkan kadar saman trafik, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy.

Beliau berkata keputusan itu dibuat Kabinet atas alasan saman dikeluarkan terhadap pesalah lalu lintas bagi tujuan pencegahan dan bukan sebagai sumber pendapatan bagi kerajaan.

"Mengenai pengurangan kadar kompaun, bagi kesalahan-kesalahan lalu lintas yang diumumkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia semalam, ianya telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini."

"Kabinet sudah membuat satu keputusan supaya keputusan mengenakan kadar kompaun baru ini iaitu pengurangan ini ditangguhkan," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di Putrajaya.

Chan bagaimanapun berkata beliau telah diarah oleh Kabinet mengadakan mesyuarat dengan pihak-pihak berkenaan bagi membincangkan kemungkinan mengkaji semula kadar saman yang dikurangkan polis.

Menurut laporan Bernama, pihak-pihak berkenaan termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Polis.

Semalam, Chan berkata kementeriannya tidak bersedia menerima keputusan polis mengurangkan saman itu kerana pihaknya tidak dirundingi.

Isnin lepas, polis mengumumkan pengurangan bayaran kompaun antara 50 hingga 70 peratus bagi pelbagai kesalahan termasuk memandu laju, memandu tanpa lesen dan melanggar lampu merah.

Polis berkata langkah itu bertujuan menyekat orang ramai dari cuba merasuah polis trafik untuk mengelakkan bayaran denda yang tinggi.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mustafa Abdullah, tetap menegaskan bahawa polis berhak mengurangkan kadar tersebut dan tidak perlu berunding terlebih dulu dengan mana-mana kementerian atau agensi.