Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li: Agong boleh tentu tarikh sidang parlimen tanpa nasihat PM
Diterbitkan:  Feb 24, 2021 9:17 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyambut baik ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat bekuatkuasa.

"Sudah tentu rakyat bergembira dengan kenyataan ini," katanya.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan sidang parlimen akan diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh berkata penentuan tarikh persidangan Dewan Rakyat yang sesuai boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Sebenarnya memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada perdana menteri apatah lagi di dalam keadaan darurat diisytiharkan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong pada 12 Jan lalu berkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Tempoh pelaksanaan darurat ini akan berlangsung sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikritik kerana mengusulkan perisytiharan darurat selepas didakwa tidak lagi memiliki sokongan majoriti anggota parlimen.

Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan MP Padang Rengas Nazri Aziz telah mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Ramai pihak, termasuk pembangkang menggesa supaya sidang parlimen diadakan segera.

Apatah lagi, sewaktu hubungan Umno dan Bersatu dikatakan bermasalah dan umpama retak menanti belah.

Ia selepas mesyuarat MT Umno pada Jan lalu membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun Umno masih gagal mengabsahkan keputusan berkenaan selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan hujung bulan lalu dibatalkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Umno juga sebelum ini turut dikaitkan dengan spekulasi yang parti itu menjalinkan kerjasama dengan PKR bagi menjatuhkan kerajaan PN.

Lihat Komen
ADS