Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPM: Buku sejarah tingkatan 4 lalui proses ketat, diperakui April 2018
Diterbitkan:  Feb 25, 2021 6:38 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa buku teks Sejarah tingkatan 4 yang dituduh mengagung-agungkan pihak komunis, telah melalui proses kawalan mutu yang ketat sebelum diperakukan.

KPM berkata, proses kawalan mutu itu merangkumi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku teks dan kelulusan naskhah contoh bagi menyediakan naskhah edar.

Proses-proses tersebut, kata KPM, melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.

“Bagi mewasitkan (mengadili) fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“KPM menegaskan bahawa buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan dakwaan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bahawa buku teks Sejarah Tingkatan 4 memanipulasikan fakta dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan.


BacaDakwa buku sejarah agungkan komunis - Maszlee sekolahkan Asyraf


Dia merujuk dua muka surat daripada buku tersebut, berkenaan peranan gerakan nasionalis Melayu radikal dalam perjuangan kemerdekaan dan perjuangan Malayan People’s Anti-Japanese Army’s (MPAJA) menentang penjajahan Jepun.

Asyraf mendakwa ia usaha terancang semasa pemerintahan PH bagi menanam ideologi "Malaysian Malaysia" dan membuatkan pelajar merasakan sosialis dan komunis bukan fahaman buruk.

Mengulas lanjut, KPM berkata penerbitan buku teks itu adalah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 serta mengikut prosedur operasi standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada tahun 2018.

DSKP ialah dokumen yang mengintegrasikan kurikulum dan pentaksiran, menyenaraikan standard kandungan, standard pembelajaran, dan standard prestasi dan kurikulum baru iaitu KSSM.

Asyraf Wajdi

KPM berkata lagi, pada 24 April 2018, buku teks tersebut telah diteliti, disemak dan diperakui oleh panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, yang terdiri daripada tujuh pakar sejarah daripada pelbagai pengkhususan dan kaum.

"Penulis buku teks pula dipastikan mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengalaman menulis buku teks Sejarah, menepati Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka," kata kementerian itu lagi.

Tambah KPM, kandungan buku teks di bawah Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) tersebut adalah berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011- 2012).

PH berkuasa selepas menang pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 - iaitu selepas buku teks itu diperakui KPM.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik juga telah menjelaskan bahawa KSSM telah bermula sejak 2017 lagi bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Dia membidas Asyraf kerana menuduhnya dan PH "secara membuta tuli" dan memintanya merujuk sediri pakar rujuk yang terlibat, iaitu Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS).

Lihat Komen
ADS