Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno dakwa buku sejarah agungkan komunis, gesa betulkan
Diterbitkan:  Feb 24, 2021 1:49 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa buku sejarah Tingkatan 4 memanipulasikan fakta dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Berdasarkan hantaran Facebooknya, Asyraf merujuk dua muka surat berkenaan peranan gerakan nasionalis Melayu radikal dalam perjuangan kemerdekaan dan perjuangan Malayan People’s Anti-Japanese Army’s (MPAJA) menentang penjajahan Jepun.

“Perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan," katanya.

Tambahnya, turut wujud elemen memfitnah orang Melayu sebagai “barua” atau orang suruhan penjajah Jepun untuk menentang komunis dan MPAJA.

“Menteri Kanan Umno juga telah maklum dan akan bawa dalam mesyuarat kabinet agar diambil tindakan segera oleh menteri pendidikan (menteri pendidikan Bersatu yang juga merupakan sebahagian daripada kerajaan PH terdahulu).

“Harap mereka ambil tindakan segera!” katanya dalam satu komen pada hantaran itu.

Menteri kanan Umno yang dimaksudkan ialah Ismail Sabri manakala menteri pendidikan ialah Mohd Radzi Md Jidin, yang juga merupakan menteri kanan dari Bersatu dalam kerajaan.

“Secara halus dan tersirat, kerajaan PH terdahulu telah mengangkat dan menjulang anggota komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan.

“Justeru, Pemuda Umno mendesak agar Kementerian Pendidikan segera menarik balik buku-buku sejarah Tingkatan 4 dan memperbetul kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi merubah sejarah negara,” katanya lagi.

Kandungan untuk dua muka surat yang dimaksudkan adalah seperti berikut:


MUKA SURAT 129

Seksyen 1

Sumbangan Nasionalis Melayu Radikal

Golongan nasionalis Melayu radikal melaungkan perjuangan kemerdekaan sejak penghujung tahun 1930-an. Mereka mempunyai matlamat perjuangan, iaitu membebaskan tanah air daripada penjajahan. menyatukan seluruh Tanah Melayu dan enggan berkompromi dengan penjajah untuk mencapai kemerdekaan.

Golongan ini juga memperjuangkan hak semua kaum dalam sebuah negara dan memberikan penekanan kepada kebebasan hak bersuara, berhimpun dan menerbitkan akhbar. Ahmad Boestamam menerbitkan akhbar Suara Rakyat sebagai wadah untuk membuka minda rakyat ke arah idea ingin bebas dan merdeka.

Selain itu, fahaman kebangsaan yang diperjuangkan oleh golongan ini mudah diterima oleh setengah rakyat. PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) berjaya menubuhkan cawangannya di seluruh negeri Perak, Hulu Langat, Selangor dan Temerloh, Pahang. Jumlah Keahlian PKMM pada bulan Julai 1947 dianggarkan melebihi 53 ribu orang.

Golongan nasionalis Melayu radikal juga memperjuangkan pembelaan terhadap ketidakadilan. Mereka berjuang berdasarkan prinsip dan falsafah. Para pejuang ini bukan sekadar menjadi tokoh setempat, tetapi melangkaui jarak sempadan dan kenegerian sehingga digelar tokoh politik nasional.

[Gambar Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam disertai keterangan "Ishak Haji Muhammad sedang berucap dalam satu mesyuarat" dan "Ahmad Boestamam dan ahli PKMM dalam Kongres API (Angkatan Pemuda Insaf) yang pertama pada 22-23 Disember 1946".]

Seksyen 2

Bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberi sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan - Dr Ismail Abdul Rahman.

Ucapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (1970-1973) sempena dengan penerimaan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia pada 23 September 1973.

Seksyen 3

Istilah radikal digunakan oleh British kepada golongan ini kerana keberanian mereka menentang British secara terbuka dan membangkitkan perasaan anti-British dalam penulisannya.

Ahmad Boestamam dalam bukunya Testamant Politik Api, menyatakan secara tegas bahawa “mereka” menentang penjajah British kerana British bertindak menindas golongan nasionalis Melayu radikal. Lantaran itu, golongan ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan.

MUKA SURAT 75

Seksyen 1

Penentangan MPAJA

Layanan kejam tentera Jepun menyebabkan terdapat sebahagian orang Cina mencari perlindungan di bawah Parti Komunis Malaya (PKM) bagi mengelakkan mereka diseksa dan dibunuh. PKM kemudiannya menubuhkan pasukan gerila untuk menentang Jepun.

Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) ditubuhkan selepas PKM bersetuju mewujudkan pasukan sukarela yang dilatih oleh British dalam kegiatan penentangan terhadap tentera Jepun.

Seramai 165 orang anggota PKM diberikan latihan di Sekolah Latihan Khas di Singapura untuk menjalankan kerja sabotaj dan perang gerila terhadap Jepun. Mereka dihantar ke Tanah Melayu untuk membentuk pasukan gerila yang menjadi asas pembentukan lapan rejiman MPAJA.

[Peta rejimen MPAJA]

Seksyen 2

MPAJA merupakan gerakan anti-Jepun terbesar di Tanah Melayu. Gerakan anti-Jepun semakin meningkat mendorong pentadbiran tentera Jepun menggunakan pasukan tentera atau polis yang dianggotai orang Melayu untuk menentang MPAJA. Tindakan tentera Jepun telah menimbulkan ketegangan kaum kemudiannya.

[Bendera rejimen MPAJA pertama]

Seksyen 3

Kerjasama MPAJA dan Force 136

Pada bulan Disember 1943, MPAJA dan Force 136 yang mewakili tentera British telah mengadakan perjanjian kerjasama untuk melawan tentera Jepun. Dalam kerjasama ini, MPAJA memperoleh bantuan seperti senjata, ubat-ubatan, kewangan dan latihan ketenteraan daripada tentera British.

Kerjasama Parti Kuomintang dan MPAJA

Terdapat gerila Cina yang dikuasai oleh nasionalis daripada Parti Kuomintang (KMT) menentang tentera Jepun di utara Tanah Melayu, terutamanya di Hulu Perak dan Kelantan. Mereka telah menubuhkan Overseas Chinese Anti-Japanese Army (OCAJA) yang dikenai sebagai Tentera Bintang Satu. Gerila KMT bersetuju bekerjasama dengan MPAJA atau PKM menentang tentera Jepun.

[Gambar pemimpin geila KMT, Lim Bo Seng]

Lihat Komen
ADS