Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zulkifli cerita pengalaman divaksin, gesa orang ramai ambil
Diterbitkan:  Feb 27, 2021 7:04 PM
â‹…
Dikemaskini: 11:04 AM

Sehari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, Dr Zulkifli Mohamad menceritakan pengalamannya dan berharap orang ramai akan turut mengambilnya nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, keadaan dirinya setakat ini sihat dan tidak mengalami sebarang gejala atau alahan.

"Semalam saya mengambil satu suntikan. Alhamdulillah, selesai ambil keadaan saya seperti biasa dan semalam pun sama seperti biasa. Tiada sebarang bentuk alahan kepada diri saya," ciapnya di Twitter hari ini.

Zulkifli, yang dijangkiti wabak itu pada Ogos tahun lalu, menerima suntikan vaksin vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya semalam.

Katanya lagi, dia sangat berpuas hati dengan proses suntikan yang menurutnya dilaksanakan kakitangan Kementerian Kesihatan dengan begitu tertib dan berhemah, serta cermat dalam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sehubungan itu, dia menyeru agar seluruh rakyat Malaysia mendapatkan suntikan vaksin itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Sekali lagi, saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada sahabat-sahabat, ambillah vaksin Covid-19 ini.

"Mudah-mudahan Allah beri kita kebaikan dan juga kawan-kawan, kaum keluarga sekeliling kita.

"Lindung diri sudah pasti bermakna kita lindung semua," katanya lagi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi penerima pertama di negara ini.

Pada masa sama, perdebatan hangat berlaku di media sosial berhubung keberkesanannya melibatkan kalangan yang digelar sebagai "antivaksin".

Sejumlah pihak, termasuk PH, menggesa kerajaan mengadakan kempen bagi meningkatkan kesedaran mengenai vaksin dan mengekang maklumat-maklumat palsu berkenaannya.

 

Lihat Komen
ADS