Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PKS tak berdaftar tercicir dari bantuan kerajaan'

Perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKS) yang tidak berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau dewan perniagaan kian merasai kesan daripada sentimen pengguna yang buruk, menurut Industries Unite.

Gabungan lebih 40 persatuan perdagangan, perniagaan dan profesional seluruh Malaysia itu menjelaskan lebih malang apabila kalangan PKS ini tercicir daripada menerima bantuan kerajaan untuk perniagaan.

Penyelaras Kumpulan bagi Industries Unite, Datuk David Gurupatham berkata terdapat segelintir PKS mikro yang termasuk dalam kategori ini, susulan itu, mereka tidak memperoleh maklumat mengenai bantuan kerajaan serta garis panduan dan prosedur yang diperlukan.

Beliau berkata bagaimanapun keadaan itu dapat diatasi dengan mengadakan libat urus atau jalinan dengan perwakilan dan persatuan perniagaan.

“Wujudkan libat urus dengan persatuan dan perwakilan perniagaan, terutama berkaitan PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara), supaya tiada mana-mana pihak tercicir dan perniagaan kecil memperoleh maklumat tepat, menghapuskan karenah birokrasi agar PKS mempunyai akses yang lebih mudah untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata rebat elektrik khas pada masa ini yang berada di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) tidak menjangkau PKS dan PKS mikro ekoran itu ia hanya tertumpu kepada sektor komersial.

Enam sektor dalam kategori komersial adalah pengusaha hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pelancongan dan perjalanan, katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perancang Perkahwinan Profesional Malaysia, Patrick Low pula mendakwa industri perkahwinan dan acara sering diabaikan walaupun setiap acara boleh melibatkan 25 hingga 50 subsektor.

“Lebih 100,000 perniagaan terjejas dan pekerja tidak mempunyai pekerjaan , ada yang bekerja sendiri atau perniagaan bersama suami dan isteri, yang tidak mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja...inilah perniagaan mikro yang mahir dalam kerja mereka namun tidak semua orang tahu bagaimana menguruskan dan mengembangkan perniagaan.

“Selain itu, bank telah menolak sebahagian besar permohonan pinjaman kerana mereka tidak memiliki dokumen sokongan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, industri perkahwinan dianggarkan bernilai RM10 bilion pada 2020 manakala nilai jualan runcit untuk tanaman, bunga, bijian dan baja bernilai RM1.66 bilion.

Pada 2018, nilai jualan borong bunga dan tanaman berjumlah RM809 juta sementara bunga dan tanaman potong bernilai RM122 juta.

- Bernama

-

Lihat Komen
ADS