Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rentas daerah dibenarkan mulai Jumaat ini kecuali di Sabah

Larangan pergerakan merentas negeri di seluruh negara ketika ini dikekalkan manakala pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali di Sabah berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata larangan merentas daerah di Sabah dikekalkan untuk tempoh dua minggu atas permintaan kerajaan negeri.

"Kita faham Sabah negeri yang amat besar, satu daerah mereka lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung. Sebab itu kerajaan Sabah minta tangguh (rentas daerah) di negeri itu," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula pada 5 Mac sehingga 18 Mac ini.

Beliau berkata status PKPB di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak pula dikekalkan manakala status PKPB di Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Arahan itu berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac kecuali di Sarawak pelaksanaan PKPB bermula pada 2 Mac hingga 15 Mac ini. Perlis pula kekal dengan status PKPP," katanya. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS