Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Sila pinda had umur ahli parlimen', Razlan sindir Takiyuddin

Seorang ahli Majlis tertinggi (MT) Umno secara sinis mencadangkan agar had umur ahli parlimen dipinda sekiranya faktor usia menjadi halangan untuk Dewan Rakyat bersidang ketika wabak Covid-19.

Razlan Rafii berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan sepatutnya lebih ikhlas dalam memberi jawapan mengapa parlimen ditangguhkan dan bukan bergantung kepada alasan tersebut.

"Kalau ini (faktor umur) alasannya, saya cadangkan ordinan baru nanti meletakkan had kepada umur ahli politik, umur menjadi ahli parlimen atau Adun 18 hingga 60 tahun.

"Saya harap, Takiyuddin lebih ikhlas memberi jawapan, rakyat akan faham. Darurat adalah untuk meletakkan politik negara dalam keadaan stabil demi membolehkan kerajaan menangani masalah Covid," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Razlan, kerajaan misalnya boleh meluluskan apa sahaja pembangunan tanpa terikat kepada undang-undang dalam tempoh darurat. 

"Tidak salah perkara ini diungkapkan secara lebih jelas dan ikhlas. Berdolak dalik isu sidang parlimen menunjukkan kerajaan menipu rakyat," katanya.

Terdahulu media melaporkan jemaah menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan Covid-19.

Takiyuddin berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan parlimen.

Selain itu Takiyuddin memaklumkan sebahagian ahli Parlimen adalah mereka yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

"Di parlimen sekarang ini, ada 220 ahli parlimen. Dua meninggal dunia, Gerik dan Batu Sapi. Daripada 220 orang, seramai 77 ahli parlimen berumur 61 hingga 69 tahun. Ini kumpulan berisiko. Umur dari 71 hingga 79 tahun ada 19 orang, 80 tahun ke atas ada empat orang.

"Jadi, hampir sebahagian ahli parlimen kita adalah kumpulan berisiko. Kita tidak mahu ahli parlimen terdedah dengan perkara ini (kerana) kita berada dalam satu kawasan yang tertutup," kata Takiyuddin.

Razlan berkata, lebih lama darurat ini perpanjangan, negara luar akan melihat Malaysia tidak mengamalkan sistem demokrasi yang telus.

'Tak hormat titah Agong'

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid menyifatkan keengganan kerajaan memanggil Dewan Rakyat bersidang sebagai tidak menghormati keputusan Istana Negara.

Katanya, ketika negara sudah menerima vaksin Covid-19, tidak ada alasan lagi untuk kerajaan menafikan sidang parlimen.

"Bukan saja tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi ia juga tidak menghormati demokrasi.

"Vaksin sudah ada, kenapa kita takut untuk bersidang bagi membincangkan isu rakyat, khususnya ketika pandemik Covid-19.

"Sekolah boleh belajar, kenapa parlimen tidak boleh bersidang," katanya lagi.

Istana Negara dalam kenyataan pada 12 Jan menyatakan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat perdana menteri.

Lihat Komen
ADS